Perak Hari Ini

Royal Belum Challege cipta seribu memori

Perbezaan gaya hidup masyarakat orang asli di Tasik Banding meninggalkan seribu erti kepada peserta.

SEBANYAK 16 Kolej Komuniti dari seluruh negara dan Betong, Thailand telah menghantar para pelajar mereka untuk berkampung di Pulau Pendidikan, Tasik Banding, Perak bagi menyertai Program ‘Royal Belum Challege’ yang berlangsung baru-baru ini.

Hujan renyai-renyai yang mengiringi sepanjang empat hari program tersebut berlangsung, sama sekali tidak melunturkan semangat kesukanan para peserta dek kerana terpukau dengan keindahan panorama yang disajikan.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah diuji semangat berpasukan melalui cabaran berbasikal dan berakit. Selain itu, mereka turut di bawa menaiki bot di Tasik Banding untuk menjejaki bunga rafflesia.

Untuk mendekati masyarakat setempat, para peserta telah dibawa melawat perkampungan orang asli di Tasik Banding.

Menurut Pengarah Program, Khairil Azhar Mohd. Nor, antara objektif yang cabaran pada kali ini adalah salah satu usaha untuk mengembangkan potensi pelajar terutamanya dalam membina ‘soft skill’ agar mampu berdaya-saing dengan dunia luar selepas menamatkan pengajian.

“Melalui program seperti ini diharapkan para peserta mampu mempelajari kepentingan untuk bekerjasama dalam pasukan kerana apabila menghadapi alam pekerjaan nanti yang sememangnya memerlukan sifat toleransi dan bersatu-padu.

“Selain aktiviti berunsurkan cabaran, program ini turut mengadakan aktiviti yang melibatkan aktiviti kemasyarakatan, menghargai alam sekitar serta mengenali peninggalan sejarah agar para peserta berkeupayaan membudayakan aktiviti tersebut dalam membina jati diri,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Omar Abd. Rahman terlebih dahulu melepaskan para peserta pertandingan berbasikal relay di tapak Motorcross, Gerik.

Menurut Pensyarah Kolej Komuniti Pasir Gudang, Mohd. Yusof Tawang berkata, ketika dibawa melawat kawasan perumahan orang asli, para pelajar seharusnya mempelajari erti kehidupan kerana masih ramai di luar sana yang masih belum dapat merasai arus kemajuan.

“Apa yang lebih penting, mereka perlu sedar bahawa untuk berjaya tidak hanya bersandar kepada akademik semasa tetapi juga perlu dilihat dari konteks bagaimana untuk membangunkan masyarakat,” katanya.

Bagi pertandingan berbasikal, pasukan dari Kolej Komuniti Kuala Langat telah dinobatkan sebagai johan manakala, pasukan dari Kolej Komuniti Jerai merangkul juara bagi pertandingan berakit.

Sementara itu, pasukan dari Kolej Komuniti Gerik dan Kolej Komuniti Kok Lanas telah mendapat tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua pertandingan.

Program ‘Royal Belum Challege’ ini juga berjaya mencatat sejarahnya sendiri apabila berjaya mengadakan hubungan kerjasama dengan Wilayah Yala, Thailand.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Gerik, Zairon Mustapha berkata, pada masa hadapan kita berharap para pelajar kolej komuniti bukan sahaja mendapat nilai-nilai di dalam negara sahaja tetapi ke peringkat antarabangsa.

“Diharapkan program sebegini mampu membuka minda para pelajar untuk menyedari masih banyak ruang yang boleh diterokai dan dikembangkan untuk bersaing dengan negara maju yang lain.

“Selain itu, menerusi kunjungan itu diharapkan para peserta mengenal pasti peluang-peluang kemahiran baru yang boleh diceburi dan mewujudkan kerjasama dengan pelajar di sana,” katanya ketika berkunjung ke Kolej Komuniti Betong, Thailand.

Selepas dibawa melawat Kolej Komuniti Betong, para peserta turut di bawa ke tapak sejarah Wilayah Yala iaitu Terowong Piyamit yang menjadi peninggalan komunis pada suatu masa dahulu.-Utusan Malaysia Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");