Perak Hari Ini

Seorang pelatih PLKN Kem Sentosa positif hidap H1N1

Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Sentosa, Chenderiang dekat Tapah disahkan positif dijangkiti virus H1N1 Selasa lalu, kes pertama yang dilaporkan berlaku membabitkan kem PLKN di seluruh negara tahun ini.

Pelatih wanita berusia 18 tahun itu mengalami simptom demam dan selesema pada 9 Januari lalu dan hasil pemeriksaan sampel pesakit yang dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Sungai Buloh mendapati beliau positif menghidap virus terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata sebelum itu, seramai 85 pelatih kem itu mengalami kluster penyakit serupa influenza (ILI) iaitu demam, sakit tekak, selesema dan sakit otot.

“Hasil ujian rawak sampel lima pelatih yang dijangkiti ILI itu, salah seorang daripadanya didapati positif H1N1 dan bakinya negatif.

“Setakat ini, 37 pelatih itu sudah dibenarkan keluar dari bilik pengasingan manakalanya bakinya masih diletakkan di bawah pengawasan rapi pasukan kesihatan.

“Di kem ini, khidmat pakar dan penjagaan rapi 24 jam disediakan untuk merawat pelatih yang dijangkiti ILI dan kerajaan negeri turut menyediakan hotline kepada orang ramai untuk mengetahui maklumat terkini H1N1 di Perak dengan menghubungi talian 05-2433962 atau Dr Masliza Mustaffa di 0195955328,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat terkini berkaitan status kesihatan pelatih PLKN Kem Sentosa yang dijangkiti ILI.

Hadir sama, Komandan PLKN Kem Sentosa, Mejar Abdul Shukor Yahaya.

Sementara itu, Dr Mah turut menasihatkan ibu bapa kepada 464 pelatih yang menjalani latihan sejak 2 Januari lalu supaya tidak berasa bimbang dengan penularan kluster ILI di kem itu kerana langkah pencegahan dan pengasingan sudah diambil pihak pengurusan kem dan Jabatan Kesihatan negeri.

“Selain itu, kerajaan akan cuba mendapatkan bantuan penutup hidung dan mulut serta pencuci tangan daripada Yayasan Perak untuk diagihkan kepada pelatih di kem ini.

“Bagi mengekang penularan kluster ILI ini, orang ramai harus mementingkan penjagaan kebersihan dengan mencuci tangan hingga bersih dan bagi mereka yang menghidap selesema, amatlah digalakkan supaya memakai penutup hidung dan mulut dengan betul,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mejar Abdul Shukor berkata, pihaknya sudah menyerahkan kembali telefon bimbit kepada pelatih yang masih ditempatkan dalam bilik pengasingan bagi memudahkan ibu bapa mengetahui status kesihatan anak mereka.

“Ibu bapa juga perlu panik dengan berita ini kerana keadaan di sini adalah terkawal dan pelatih yang dijangkiti ILI sudah diberi rawatan dan penjagaan rapi oleh pasukan kesihatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");