Perak Hari Ini

Serkap jarang ahli parlimen pakatan meleset

Pegawai kemajuan negeri, Datuk Hasim Hasan

Kononnya nak tunjuk prihatin dan mendedahkan keburukan pentadbiran negeri yang nak digambarkan sebagai menyeleweng, tapi cubaan ahli parlimen Sungai Siput dari Pakatan, Dr. D. Jeyakumar ditepis dengan mudahnya oleh pegawai yang hendak dimalukannya. Wang sebanyak RM1.72 juta yang didakwa peruntukan yang telah diluluskan untuk pengagihan itu, rupa-rupanya bukan peruntukan kepada ahli parlimen tersebut.

Dr. Jeyakumar membuat laporan polis pada 9 Januari, mendakwa wang berjumlah RM1.72 juta telah diluluskan untuk diagihkan pada kawasan parlimennya dan beliau mempersoalkan kemana pergi wang lebih daripada angka tersebut setelah hanya RM3,500 diluluskan oleh pejabat kemajuan negeri, itu pun masih belum berbayar.

Tiga badan yang didakwa Dr. Jeyakumar patut mendapat sebahagian daripada peruntukan tersebut adalah, PIBG SMJK Sing Chung, PIBG SMK Methodist, dan asrama anak yatim Nurul Ehsan.

Ahli parlimen dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia itu menjangka ada penyelewangan telah berlaku di pejabat kemajuan negeri dan laporan dibuat supaya polis membuat siasatan.

Pegawai kemajuan negeri, Datuk Hasim Hasan, pada satu sidang media khas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini, berkata, tiada penyelewengan telah berlaku dan dakwaan Dr. Jeyakumar hanyalah salah faham di pihak ahli parlimen tersebut.

“Peruntukan yang diluluskan adalah untuk kawasan Sungai Siput, bukan parlimen Sungai Siput, dan ianya melibatkan pelbagai projek dan badan penyalurnya.

“Kita ada semua perkiraannya sekira ahli parlimen itu mahu memeriksanya,” kata Hasim.

Daripada jumlah RM1.72 juta itu, tambah Hasim, RM1.1 juta digunakan untuk membina baru masjid daerah Al-Ghufraniah di Sungai Siput, dan RM300,000 untuk sumbangan orang miskin sempena Tahun Baharu Cina di kawasan yang sama.

Hasim berkata lagi, dakwaan Dr. Jeyakumar yang mengatakan ketiga-tiga badan yang disebut tidak menerima sebarang wang daripada pejabat kemajuan negeri adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menjelaskan, PIBG SMJK Sing Chung menerima peruntukan sebanyak RM1,500 dan pejabatnya mengeluarkan cek pada 20 Oktober 2010 dan diambil pada 4 November tahun yang sama.

PIBG SMK Methodist juga mendapat jumlah yang sama dan cek yang bertarikh 23 Oktober 2010 telah pun diambil pada 16 Disember 2010, lengkap dengan bukti penerimaannya.

Manakala asrama anak-anak yatim Nurul Ihsan pula, badan itu diperuntukkan sebanyak RM500 dan cek yang bertarikh 11 Jun 2010 telah pun dikirim melalui pos pada 17 Ogos 2010.

“Ingin saya jelaskan disini, jumlah yang diberikan kepada badan-badan berkenaan adalah berdasarkan kepada permohonan yang dibuat oleh ADUN Lintang daripada peruntukan 2010 seperti mana yang sepatutnya,” kata Hasim lagi.

Beliau juga menegaskan, oleh kerana peruntukan terhad, maka lain-lain permohonan tidak dapat dipertimbangkan. Bagi kawasan Orang Asli pula, bantuan disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Iktibarnya disini amat jelas, kalau mahu serkap jarang biarlah dengan fakta, kelak boleh memalukan diri sendiri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");