Perak Hari Ini

Shabery mahu penjelasan BAM

Ahmad Shabery Cheek menyampaikan hadiah kepada peserta larian sawah pada Karnival Juara Rakyat 1Malayisa anjuran UMNO Bahagian Parit Buntar di Tanjong Piandang, Perak semalam. - BERNAMA

PARIT BUNTAR – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak terlibat, berhubung peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih perseorangan badminton negara.

Beliau yang terkejut dengan laporan itu berkata, ketika dihubungi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan kepadanya bahawa tidak ada alasan diberikan Misbun.

“Jadi, apabila tiada alasan kemungkinan Misbun mempunyai alasan tersendiri. Saya akan dapatkan maklumat daripada BAM, kebetulan pula Presidennya Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh berada di luar negara. Saya akan tunggu laporan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ahmad Shabery diminta mengulas laporan sebuah akhbar kelmarin, yang memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh sebagai mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember yang dihantar melalui e-mel ke pejabat BAM.

Goh bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, beliau juga akan mendapatkan penjelasan daripada Misbun bagi mengenal pasti punca sebenar bekas jaguh badminton negara itu bertindak demikian.

“Apakah keadaan sebenar yang berlaku, apakah peletakan jawatan itu biasa atau ada perkara yang tidak kena dalam pengurusan terutama dalam program latihan yang ditentukan.

“Ini kerana saya sangat percaya apa pun tindakan yang dilakukan oleh Misbun adalah berasaskan kepada kepentingan negara, kerana kepentingan negara mesti diletakkan di atas segala-galanya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meminta Misbun menangguhkan peletakan jawatan itu, Ahmad Shabery berkata, beliau perlu mendengar penjelasan kedua-dua pihak sebelum mengambil sebarang tindakan.

Bagaimanapun kata Ahmad Shabery, pihaknya akan memastikan prestasi badminton negara tidak terjejas, sekiranya Misbun tetap dengan keputusannya.

Beliau juga memberi jaminan persiapan Road To London juga akan diteruskan seperti biasa.

Mengenai kebimbangan beberapa pemain akan menarik diri daripada BAM berikutan tindakan Misbun, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.

Menerusi bimbingan Misbun, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan All England tahun lepas.

Misbun juga membimbing Mohd Hafiz Hashim ketika menjuarai All England pada 2003. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");