Perak Hari Ini

Sistem perparitan perlu dinaiktaraf segera elak masalah banjir kilat yang kerap berlaku di pekan Bagan Serai.

Sistem perparitan yang kecil dan cetek perlu dinaiktaraf dengan segera bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap berlaku di pekan Bagan Serai.

Selain itu, kedudukan Daerah Kerian di tanah datar juga menyebabkan pergerakan air mengambil masa yang agak panjang untuk sampai ke laut, sekaligus memburukkan lagi masalah banjir  yang berlaku di pekan terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata masalah banjir serius yang kerap berlaku di Daerah Kerian, khususnya di Parit Buntar, Gunung Semanggol dan Bagan Serai perlu ditangani dengan pelan jangka panjang yang pastinya memerlukan kos yang tinggi.

Namun begitu, kerajaan negeri katanya, mahu masalah ini diatasi segera oleh Majlis Daerah Kerian (MDK) dengan mengarahkan pihak itu melihat kedudukan parit yang hendak dibina dari segi kesesuaian untuk menampung pengaliran air dari longkang ke sistem perparitan besar.

“Salah satu masalah utama di Bagan Serai ialah banjir kilat yang memberi kesan langsung kepada pekedai yang beroperasi di sepajang pekan ini

“Peniaga mendakwa barangan di kedai mereka rosak setiap kali berlaku banjir kilat di pekan ini. Kita prihatin dengan masalah yang dihadapi mereka dan sudah mengemukakan permohonan RM350 juta kepada kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah banjir.

“Namun, keutamaan akan diberi untuk menyelesaikan masalah banjir di pekan ini dan sejumlah RM14 juta sudah diluluskan tahun ini untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berbanding hanya RM6 juta tahun lalu bagi mengatasi banjir di seluruh Perak.

“Perhatian khusus dan komitmen jitu akan diberi oleh kerajaan negeri dalam hal ini kerana ia sudah berlarutan sekian lama hingga menjejaskan kualiti hidup penduduk di sini,” katanya kepada pemberita  selepas program turun padang di sekitar pekan Bagan Serai, petang semalam.

Sementara itu, peniaga yang ditemui menyuarakan harapan agar masalah banjir yang kerap berlaku di pekan Bagan Serai dapat diatasi dengan cara terbaik.

Pengusaha kedai servis kereta di Jalan Besar, Bagan Serai, PM Cha, 44, berkata dalam setahun, pekan itu akan mengalami tiga hingga empat kali banjir akibat kejadian air pasang dan disertai hujan lebat.

“Di sepanjang jalan ini, terdapat lebih 100 peniaga yang turut menerima kesan buruk setiap kali berlaku banjir apabila air masuk ke dalam premis.

“Ada di antara mereka terpaksa menambak bahagian depan kedai mereka untuk mengelak air masuk ke dalam air hingga merosakkan barangan yang dijual,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri mewujudkan kawasan industri ringan di kawasan sekitar Bagan Serai bagi membuka peluang pekerjaan dan ekonomi kepada penduduk tempatan.

Katanya, kebanyakan generasi muda terpaksa berhijrah ke Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan kerana peluang di sana lebih luas berbanding di Bagan Serai yang masih tercicir dari segi pembangunan ekonomi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");