Perak Hari Ini

Tiada lagi beg plastik percuma setiap Sabtu

IPOH 2 Jan. – Semua pengunjung pasar raya di daerah ini tidak akan dibekalkan beg plastik secara percuma pada setiap hari Sabtu bagi menyokong kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang dilancarkan di seluruh negara mulai semalam.

Penolong Pengarah Seksyen Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri, Amer Mansor bagaimanapun berkata, pelanggan masih boleh mendapatkan kemudahan tersebut tetapi dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik.

Jelasnya, bayaran 20 sen yang dikenakan kepada pengguna untuk setiap beg plastik itu akan digunakan untuk melaksanakan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Kempen ini merupakan usaha kementerian untuk memberi kesedaran dan meningkatkan pendidikan pengguna terhadap bahaya penggunaan beg plastik.

“Melalui kempen ini, kita akan menggalakkan pembeli agar sentiasa bersedia dan membawa beg sendiri ke pasar raya apabila membeli belah pada setiap hari Sabtu mulai semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kempen berkenaan di pasar raya Tesco Seksyen 18, di sini, semalam.

Menurut Amer, masyarakat masih lagi tidak sedar bahawa kemerosotan kualiti udara persekitaran hari ini adalah berpunca daripada aktiviti pelupusan sampah melalui pembakaran terbuka.

Tegasnya, sehingga kini negara mempunyai 290 buah pusat pelupusan sampah dan 114 buah daripadanya semakin tenat kerana tidak mampu menampung kapasiti sisa pepejal dari semasa ke semasa.

“Tapak pelupusan baru bukan sesuatu yang mudah untuk dibina. Sisa pepejal yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia akan meningkat dari tahun ke tahun dengan jangkaan 30,000 tan sehari menjelang tahun 2020.

“Oleh itu, usaha mengurangkan penggunaan beg plastik penting dilaksanakan mulai sekarang bagi memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");