Perak Hari Ini

Tindakan undang-undang terhadap penternak ayam yang beroperasi tanpa lesen-DS Zambry

Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak melaksanakan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005 terhadap mana-mana penternak ayam di Perak yang terus beroperasi tanpa lesen sah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan negeri telah mengambil pendekatan berbincang dengan pengusaha dan menasihatkan mereka agar mendapatkan lesen sah tetapi jika perkara itu masih berterusan, tindakan tegas terpaksa diambil pihak bertanggungjawab.

“Kita menerima laporan terdapat pengusaha ternakan ayam yang beroperasi secara haram dan bagi menangani masalah ini, pendekatan berbincang digunakan untuk menasihatkan mereka agar mendapatkan lesen yang sah melalui pihak berwajib.

“Bagi yang beroperasi secara sah pula, kita menasihatkan pengusaha ini agar menukar kaedah reban terbuka kepada tertutup bagi mengatasi masalah lalat berterusan yang boleh menjejaskan industri pelancongan dan kehidupan masyarakat setempat,” katanya di Seri Iskandar, hari ini.

Menurutnya, kaedah ini dapat mengelakkan pembiakan lalat yang banyak di ladang ternakan ayam.

Jelasnya, masalah lalat berterusan itu dilaporkan berlaku di beberapa tempat di Perak antaranya Manjung, Teluk Intan dan Perak Tengah yang mempunyai kaitan dengan penternakan ayam samada secara sah atau sebaliknya.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan kita telah mengarahkan Jabatan Veterinar supaya mengambil langkah perlu kerana ia sudah berterusan begitu lama dan turut mencemari alam sekitar Perak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri juga katanya, prihatin dengan kadar kemalangan yang berlaku disebabkan oleh masalah ternakan lembu dan kerbau yang berkeliaran.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap penternak dan disebabkan tindakan membiarkan haiwan itu berkeliaran, banyak nyawa melayang termasuklah di sepanjang Jalan Ipoh-Lumut bermula dari Tronoh ke bawah.

“Saya mahu penternak menjaga ternakan mereka supaya tidak berkeliaran merata-rata tempat dan jabatan yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang masih berdegil,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");