Perak Hari Ini

12 kandang ternakan haram dikesan sekitar Ipoh

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengenalpasti kira-kira 12 kandang lembu dan kerbau yang beroperasi secara haram di sekitar bandaraya, sekaligus mencacatkan pemandangan terutama di kalangan pelancong.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, berkata tindakan penternak yang membiarkan ternakan berkeliaran tanpa pengawasan juga mengundang kejadian tidak diingini seperti kemalangan jalan raya.

Jelasnya, langkah penguatkuasaan akan dilaksanakan MBI dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada lagi kandang beroperasi secara haram.

“Kita tiada pilihan lain kecuali menangkap ternakan yang berkeliaran dan menganggu kelancaran trafik.

“Sekiranya penternak tidak menuntut kembali haiwan yang ditangkap dan membayar kompaun yang ditetapkan, ia akan dilelong mengikut jangka masa yang ditetapkan oleh MBI,” katanya.

Selain menganggu kelancaran trafik, najis haiwan ternakan yang berkeliaran ini juga mengotorkan jalan raya dan kawasan taman perumahan.

Pada awal November lalu, seorang pemandu van maut apabila melanggar  seekor kerbau berhampiran lampu isyarat Jalan Ipoh – Lumut dekat Falim.

Mangsa, Kho Hon Leong, 25, dari Taman Canning mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk memandu.

Dalam kejadian pada jam 3.45 awal pagi itu, mangsa yang memandu sendirian dari Ipoh ke Lumut dikatakan gagal mengawal kenderaan dipandunya setelah dua kerbau tiba-tiba melintas jalan.

Hon Leong yang terkejut dengan kemunculan haiwan itu tidak sempat menekan brek dan cuba mengelak daripada melanggar kerbau itu, sebelum dia terbabas di tepi jalan dan merempuh pokok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");