Perak Hari Ini

356 mangsa banjir terima saguhati daripada kerajaan negeri

Seramai 356 mangsa banjir dari Taman Kamunting Maju, menerima saguhati RM300 seorang daripada kerajaan negeri yang begitu prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat di kawasan berkenaan.

Adun Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Mohd Khalid, berkata jumlah bantuan yang disalurkan kepada mangsa banjir itu mencecah lebih RM100,000.

“Kejadian banjir yang berlaku November lalu menyebabkan mangsa mengalami kerugian harta benda dan kerajaan negeri turut bersimpati dengan nasib mereka.

“Bantuan RM300 ini bukanlah ganti rugi kepada mangsa, sebaliknya ia saguhati kepada mereka dan kita berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan mereka,” katanya kepada Perak Today selepas menyampaikan wang saguhati itu kepada mangsa di Dataran Kamunting, semalam.

Zahir berkata, selain longkang yang tersumbat dengan sampah-sarap, penduduk taman itu juga mendakwa projek membina landasan keretapi berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar turut menjadi penyumbang berlaku banjir di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak pemaju, iaitu MMC-Gamuda Joint Venture untuk mengenalpasti dakwaan penduduk dan mengambil langkah perlu bagi mengelak kejadian sama berulang di masa depan.

Beliau berkata, masalah itu juga diburukkan lagi dengan sikap penduduk yang suka membuang sampah ke dalam longkang lalu menyebabkan ia tersumbat dan seterusnya mengakibatkan banjir apabila hujan.

Dalam kejadian banjir itu, rumah penduduk dinaiki dari paras lutut hingga pinggang dan kedudukan taman di kawasan rendah memburukkan lagi keadaan hingga memaksa kerja menyedut air dilakukan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Sementara itu, beberapa penerima yang ditemui menghargai bantuan yang dihulurkan kerajaan Perak dan mahu pihak bertanggungjawab mengambil sewajarnya bagi mengelak kejadian banjir itu berulang kembali.

Rahmah Musa, dari Taman Kamunting Jaya, berkata kawasan perumahan itu terletak di kawasan rendah dan  berisiko tinggi dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Penduduk mengalami kerugian harta benda apabila banyak perabot dan peralatan elektrik rosak akibat banjir yang berlaku pada malam 17 November lalu,” katanya.

Pekerja kilang, G Kalaichelvi, 43, pula mahu pihak bertanggungjawab membina sistem perparitan yang lebih besar bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Katanya, longkang sedia ada terlalu kecil untuk menampung pengaliran air dari taman itu terutamanya apabila hujan lebat.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana menerima saguhati RM300 daripada kerajaan negeri,” katanya yang tinggal bersama di taman itu bersama dua lagi ahli keluarganya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");