Isu Panas

59 Anggota Konvoi Haram Ditahan Di Perak, Negeri Sembilan, Selangor Dan Kuala Lumpur

Polis menahan 59 orang termasuk anggota Hindraf dan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) yang menaiki kenderaan secara konvoi bagi membantah penggunaan novel Interlok di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Jurucakap Cawangan Perhubungan Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman berkata tangkapan itu membabitkan 27 orang di Negeri Sembilan, 21 di Kuala Lumpur, enam di Perak dan lima orang di Selangor.

“Perarakan sama juga diadakan di Kedah tetapi tiada tangkapan dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kumpulan itu mengadakan perarakan secara konvoi secara serentak di negeri-negeri berkenaan tanpa mendapat permit mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis.

Di SEREMBAN, polis menahan 27 orang termasuk enam wanita dan empat kanak-kanak yang menyertai konvoi 16 buah kereta tanpa permit di bandar itu.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin, berkata sebelum itu pihak polis mendapat maklumat mengenai konvoi haram yang akan melalui bandar itu.

“Polis memantau pergerakan mereka pada 1.35 petang dan kita tahan mereka ketika melalui lampu isyarat Jalan Zaaba, berhampiran Balai Polis Rahang pada pukul 2.15 petang,” katanya kepada pemberita di sini.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid pula berkata seramai 21 orang termasuk lima wanita dan seorang kanak-kanak yang menaiki 18 kenderaan ditahan di persimpangan Jalan Tun Sambathan, pada pukul 2.30 petang.

“Kenderaan-kenderaan itu memasang lagu dalam bahasa Tamil dan melekatkan poster yang bertulis ‘Say No To Interlok’,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Travers di sini.

Beliau berkata kumpulan itu turut membawa panji dan bendera yang mendesak novel Interlok karya sasterawan negara Abdullah Hussein diharamkan.

Di GOMBAK, SELANGOR, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata lima orang yang ditahan di Rawang ialah Ketua Penerangan Hindraf, S. Jayathas, 44, sukarelawan polis (PVR) S. Losha Rav, 21, K. Navakrishna, 38, K. Tamil Selvan, 46, dan T. Peviasamy, 34.

Mereka ditahan dalam sekatan di Jalan Templer selepas bertindak agresif terhadap anggota polis di pekan Rawang sebelum itu.

Di IPOH, polis menahan enam anggota HRP kerana bertindak agresif ke atas anggota polis ketika berkumpul di hadapan Balai Polis Jelapang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata mereka yang ditahan ialah Pengerusi HRP Perak P.Ramesh, Timbalan Ketuanya N.Subramaniam, 43, setiausaha S.Sivakumar, 51, S.Sivakumar, 38, S.Jayakumar, 49 dan Penyelaras HRP Negeri R. Mogan, 44.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");