Perak Hari Ini

Hadiah bernilai RM44,700 nanti pembayar awal cukai MBI

Bagi mengalakkan pembayaran awal, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tahun ini menawarkan pelbagai hadiah menarik sebagai cabutan bertuah untuk pembayar awal cukai yang dianggarkan bernilai RM44,700.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, berkata antara hadiah menarik yang ditawarkan ialah dua unit motorsikal Yamaha, televisyen LCD 40 inci, peti sejuk dua pintu, mesin basuh dan 200 set kutleri kepada para pemenang bertuah.

“Setiap tahun, MBI mengadakan cabutan bertuah bagi menggalakkan wargakota membuat pembayaran awal dan setakat ini, kita sudah mengagihkan 20,000 unit note pad dan pen kepada pembayar awal yang melunaskan cukai taksiran untuk setahun.

“Kita menyediakan kaunter pembayaran di tingkat bawah ibu pejabat MBI, kaunter pandu lalu dan kaunter bergerak bagi kemudahan wargakota membuat bayaran.

“Sebagai contoh, kaunter bergerak akan beroperasi setiap hari Isnin hingga Khamis mengikut jadual lokasi yang ditetapkan iaitu Isnin di Pejabat Tanah (Gugusan Manjoi), Selasa (Pasar Besar Ipoh); Rabu (rumah pangsa MBI); Khamis (pasar raya sekitar Ipoh); dan Sabtu/Ahad, (rumah pangsa MBI/pasar sekitar Ipoh). Perkhidmatan ini ditawarkan dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan buah limau kepada pembayar cukai di kaunter MBI, di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, MBI meminta mana-mana pemilik premis yang belum mendapat bil cukai taksiran tampil secara sukarela dan mendaftar bagi memudahkan proses bayaran.

Katanya, jika hasil bertambah, lebih banyak projek pembangunan dapat disediakan kepada wargakota dan salah satu caranya ialah dengan menggalakkan wargakota membuat pembayaran awal dan mengutip semula tunggakan yang dianggarkan berjumlah RM40 juta.

“Jika pembayar cukai masih berdegil, kita tidak mempunyai pilihan kecuali menguatkuasakan undang-undang sebagai jalan terakhir kita untuk mendapatkan tunggakan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Roshidi berkata, sehingga 31 Disember lalu, MBI berjaya mengurangkan tunggakan hasil sebanyak RM21.6 juta atau 44 peratus daripada tunggakan 2009.

Daripada jumlah itu, RM10.8 juta yang diperolehi adalah daripada proses pembersihan akaun yang mana tunggakan yang telah melebihi enam tahun dan tidak boleh dikutip telah dibuat proses hapuskira.

“Sehingga Disember lalu, sebanyak 20,782 jumlah pegangan diambil tindakan penguatkuasaan dan kita mempunyai tunggakan tindakan sitaan berjumlah lebih RM19 juta,” katanya.

Mengulas prestasi kutipan letak kereta, beliau berkata, kutipan keseluruhan bagi 2010 menunjukkan peningkatan sebanyak RM5.5 juta berbanding hanya RM5.3 juta pada tahun sebelumnya.

“Pihak Majlis prihatin dengan aduan awam mengenai kekurangan tempat letak kereta dan kita dalam proses mengenalpasti kawasan baru serta mengkaji semula kawasan sedia ada bagi menambah bilangan petak letak kereta,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");