Perak Hari Ini

Kamunting jadi pusat ternakan lebah madu secara berkelompok di Perak

Kawasan Kamunting, dekat Taiping bakal menjadi pusat ternakan lebah madu secara berkelompok di Perak, khusus untuk menghasilkan Royal Jelly dengan nilai pelaburan mencecah lebih RM38.6 juta.

Projek berkonsepkan agro-pelancongan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Floral Bee Hive Enterprise Sdn Bhd itu akan membabitkan 200 penternak tempatan dan dijangka mewujudkan 20 peluang pekerjaan secara langsung di kilang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata program perternakan kontrak (contract farming) diperkenalkan bagi melahirkan penternak dan usahawan tempatan dari golongan miskin tegar.

Katanya, NCIA juga diminta menyediakan pakej menarik bagi membantu kerajaan negeri membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

“Projek ini adalah antara kaedah yang kita laksanakan untuk meningkatkan pendapatan rakyat miskin tegar selain memberi peluang kepada lepasan sekolah atau mahasiswa untuk menceburi penternakan lebah madu secara komersial.

“Melalui projek yang dilaksanakan oleh NCIA dan Floral Bee Hive ini, Perak akan menjadi pusat penjualan lebah madu dan ia satu bidang baru yang berpotensi dikembangkan di masa depan,” katanya kepada pemberita selepas program Turun Padang di Dataran Kamunting, hari ini.

Terdahulu, Dr Zambry menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara NCIA dan Floral Bee Hive Enterprise Sdn Bhd yang masing-masing diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Kamaruddin Deo selaku Ketua Pegawai Operasi kepada Floral Bee Hive.

Bagi projek ternakan lebah madu ini, kos sebenar bagi setiap penternak ialah RM56,500 iaitu FBH memberikan subsidi sebanyak RM26,500 bagi setiap perternak dan ini bermakna pakej pembiayaan bagi setiap penternak adalah RM30,000.

Syarikat  yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam ternakan lebah madu secara komersil, pemprosesan dan pasaran global itu juga akan bertindak sebagai penjamin kepada pembiayaan setiap penternak.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, selain ternakan lebah madu, perjanjian juga akan dimeterai dalam tempoh terdekat untuk projek tanaman misai kucing di Taiping dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk herba.

Selain itu, kerajaan negeri katanya turut menyediakan peluang pendidikan dengan mewujudkan Kolej SAL untuk memberi kemahiran kepada rakyat di situ dalam bidang pelancongan, perhotelan dan masakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata, pembangunan juga tidak seharusnya tertumpu di satu-satu kawasan sahaja sebaliknya perlu diperluaskan ke setiap pelusuk negeri agar ia lebih seimbang.

“Pembangunan tidak seharusnya tertumpu kepada satu-satu kawasan sahaja dan kita akan mengenalpasti industri yang sesuai di dibangunkan di sepanjang kawasan dari Kamunting ke Batu Kurau.

“Fasa pertama projek Jalan Anak Kurau-Kamunting akan dimulakan dalam masa terdekat ini dan apabila siap kelak, ia membuka jajaran baru yang menghubungkan beberapa kawasan seperti Kamunting, Batu Kurau, Selama dan Kubu Gajah.

“Kita akan memikirkan pembangunan baru di kawasan ini demi kesejahteraan rakyat dan negeri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");