Perak Hari Ini

Keamanan sumbangan terbesar BN kepada rakyat Malaysia- DS Zambry

Keamanan yang dinikmati hasil kestabilan politik dan ekonomi adalah sumbangan terbesar yang diberi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sehubungan itu mengingatkan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama agar berusaha untuk mengekalkan keamanan yang dinikmati hari ini demi masa depan generasi akan datang.

Katanya, pergolakan politik di Mesir wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk menghargai keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia.

“Rakyat ini harus menghargai keamanan yang mereka kecapi dalam kehidupan seharian dan ia adalah sumbangan terbesar kerajaan BN yang berjaya mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA yang juga merangkap Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan barisan tertinggi pimpinan MCA Pusat dan negeri.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, kerajaan BN akan memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukan seperti seperti pihak pembangkang yang hanya pandai tabur janji kosong.

“Satu kelemahan kerajaan BN ialah kita tidak pandai janji atau putar-belit fakta seperti yang sering dibuat parti pembangkang.

“Sebagai contoh, dalam tempoh 11 bulan memerintah Perak, Pakatan Rakyat mendakwa mereka menyelesaikan ratusan kes berkaitan pemilikan tanah dan untuk pengetahuan rakyat Perak, sepanjang BN mengambil alih semula negeri ini, kita sudah berjaya menyelesaikan ribuan kes sama.

“Usaha akan terus dilaksanakan bagi menyelesaikan isu pemilikan tanah ini bukan membabitkan kaum Cina sahaja, tetapi setiap rakyat yang tinggal di atas tanah rizab sungai dan tepi pantai.

“Kita tidak mahu menyelesaikan masalah ini secara tergesa-gesa, sebaliknya untuk jangka masa panjang dan untuk itu, kerajaan melantik Ketua Pemuda MCA yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mah Hang Soon untuk menyenaraikan masalah berkaitan tanah yang dihadapi kaum Cina di Perak,” katanya.

Dr Zambry menjelaskan, masalah setinggan membabitkan lebih 700 keluarga yang tinggal di atas tanah milik Keretapi Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Sepetang adalah antara kejayaan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah di Perak.

Katanya, pada awalnya, bayaran RM35 juta diminta oleh KTMB tetapi melalui rundingan yang dijalankan dengan Kementerian Pengangkutan, akhirnya tanah itu diserahkan semula kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bayaran.

“Akhirnya masalah setinggan di Kuala Sepetang dapat diselesaikan selepas ia berlarutan sekian lama .

“Selalin itu, kita juga akan berusaha menyelesaikan masalah tanah membabitkan penternak udang, ikan hiasan, ikan air tawar, pekebun sayur dan limau tambun yang kebanyakannya membabitkan kaum Cina,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");