Perak Hari Ini

Kes tipu: ‘Orang dalam’ terlibat?

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meminta polis menyiasat kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’ dengan kegiatan penipuan menggunakan nama beliau dan juga Jabatan kerajaan yang banyak berlaku sejak tahun lepas.

Zambry berkata, beliau tidak boleh menolak kemungkinan tersebut kerana kumpulan atau individu yang menipu itu mampu mendapat maklumat-maklumat sulit kerajaan negeri.

”Saya sekali lagi memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak tertipu. Kerajaan negeri atau Menteri Besar tidak pernah arah mana-mana pihak atau individu menjaja surat untuk mendapatkan habuan dengan menipu rakyat.

”Saya tidak akan bertolak ansur dengan penipuan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Sebelum ini, Zambry pernah mendedahkan kegiatan tersebut yang menggunakan pelbagai cara untuk menipu wang orang ramai termasuk mendakwa kenalan rapat beliau dan memalsukan tandatangannya dan kepala surat Pejabat Menteri Besar.

Beberapa mangsa yang terpedaya dengan penipuan tersebut dilaporkan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

Menurut Menteri Besar, berdasarkan peraturan kerajaan negeri, tiada sesiapa termasuk Exco boleh mengeluarkan surat kelulusan projek kepada mana-mana syarikat.

”Apa yang diamalkan ialah sebarang keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco akan dimaklumkan mereka yang berjaya melalui pejabat tanah dan galian (PTG) jika berkaitan tanah atau mana-mana jabatan berkaitan yang membawa permohonan ke pejabat Exco,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau telah mengarahkan pegawai Kerajaan Negeri Perak yang berada di Mesir supaya memastikan kira-kira 525 pelajar negeri ini yang berada di sana mendapat bekalan mencukupi ekoran situasi yang semakin meruncing.

”Semalam, saya juga berkesempatan berbual dengan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Dr. Mohd. Fakhruddin Abdul Mukti dan beliau memaklumkan pelajar Malaysia sekarang berada dalam keadaan selamat meskipun mereka amat bimbang dengan keadaan yang berlaku.

”Dengan ketiadaan pasukan keselamatan di bandar raya Kaherah, ini membimbangkan sedikit tetapi suasana demonstrasi tidak cetuskan keadaan yang boleh menggugat keamanan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");