Perak Hari Ini

Laporan Rasuah Ke Atas Lapan Pemimpin Pakatan Rakyat Perak.

Kemelut Pakatan Rakyat Perak semakin meruncing apabila satu laporan berkaitan salah laku rasuah melibatkan beberapa pemimpin kanan parti pembangkang itu dibuat di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia -SPRM- Perak di Ipoh pagi tadi.

Aduan yang dibuat oleh bekas pemimpin parti itu sendiri menyenaraikan lapan nama dikalangan pimimpin tertinggi PAS, PKR dan DAP sebagai antara individu yang terlibat dalam amalan rasuah sepanjang 11 bulan pemerintahan mereka di Perak.

Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat -PKR- negeri, Fauzi Muda ketika ditemui memberitahu pihaknya telah menyerahkan laporan mengenai amalan songsang lapan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat tersebut kepada pihak SPRM negeri untuk membuat siasatan lanjut.

Katanya, sehingga kini, kesemua lapan individu terbabit masih lagi memegang jawatan dalam Pakatan Rakyat dan mereka dikatakan terlibat dengan amalan rasuah melalui beberapa projek kerajaan negeri ketika itu termasuk yang berkaitan balak dan tanah.

“Saya tidak mahu bersekongkol lagi dengan dosa yang mereka lakukan selama ini, jadi saya harap pihak SPRM dapat menjalankan siasatan dengan kadar segera berkaitan wujudnya penyelewangan melibatkan kesemua pemimpin ini.” katanya ketika ditemui selepas mebuat laporan berkaitan perkara terbabit di Pejabat SPRM Ipoh, pagi tadi.

“Di dalam laporan yang telah saya hantar kepada Pegawai Penyiasat SPRM Perak tadi, ada saya sertakan maklumat individu terbabit dan jika perlu saya akan tampilkan bukti serta saksi-saksi berkaitan perbuatan mereka ini.

Jelas Fauzi lagi, apa yang beliau mahukan adalah perbuatan salah laku kesemua pemimpin kanan terbabit dapat dibongkarkan kepada rakyat Perak selain mengenalpasti sejauhmana gejala salah laku itu diamalkan oleh pemimpin parti terbabit.

Tambahnya, kesemua pemimpin terbabit ketika pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak lebih rakus untuk mengaut keuntungan peribadi melalui projek-projek kerajaan negeri berbanding hal ehwal kebajikan rakyat.

Menurut Fauzi, jika sebelum ini beliau mengambil langkah berdiam diri namun setelah melihat pemimpin berkenaan semakin berani menjalankan aktiviti rasuah itu, beliau membuat keputusan untuk membawa perkara itu ke muka pengadilan.

“Kesemua mereka seperti ‘Jutawan Segera’ selepas beberapa bulan memerintah Perak sedangkan sebelum ini ada diantara pemimpin terbabit hidup susah tapi kini sudah mampu memiliki rumah serta kereta mewah.

“Jadi persoalan saya, dari mana datangnya sumber kewangan yang mereka perolehi sekelip mata ini jika tidak dari penyelewengan yang dilakukan itu.

Katanya, jika sebelum ini Pakatan Rakyat menuduh membuta-tuli yang kononnya pemimpin UMNO terlibat dengan amalan rasuah namun kini telah terbukti bahawa mereka adalah individu yang sebenarnya mengamalkan perbuatan salah laku itu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Perak supaya membuka mata dan menilai dengan lebih rasional sebelum meyokong parti yang selama ini lebih mengutamakan kepentingan peribadi semata-mata.

Selepas ini katanya, lebih banyak perbuatan penyelewengan pimimpin Pakatan Rakyat akan dibongkarkan dan beliau akan memastikan kesemua individu yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");