Perak Hari Ini

Lebih 1,000 tetamu hadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak

Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina jelas masih terasa apabila lebih 1,000 pemimpin MCA dan rakyat berbilang bangsa menghadiri majlis rumah terbuka anjuran MCA Perak di SJK (C) Yuk Choy, di Ipoh, pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjadi tetamu kehormat majlis itu yang turut diserikan lagi dengan kehadian Presiden MCA yang juga merangkap Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Turut kelihatan, Menteri Pengangkutan yang juga Timbalan Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Kong Cho Ha; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen; Speaker Negeri, Datuk R Ganesan dan barisan pemimpin-pemimpin tertinggi MCA dan parti komponen BN yang lain.

Ketibaan Dr Zambry kira-kira jam 10.30 pagi disambut meriah dengan tarian naga sebelum tetamu dihiburkan dengan tarian kebudayaan yang berkonsepkan 1Malaysia.

Soi Lek ketika berucap berkata, Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang mengutamakan kepentingan semua kaum berteraskan konsep 1Malaysia yang mendahulukan rakyat.

Katanya, mana-mana parti yang tidak mengambil kira kepentingan dan mendahulukan rakyat tidak sewajarnya diberi mandat untuk mentadbir negara ini.

“Kita akui kepimpinan BN baik di peringkat Pusat mahupun negeri mempunyai kelemahan dan tidak sempurna kerana tidak pandai tabur janji seperti yang dilakukan pihak pembangkang.

“Selain itu, dasar BN tidak suka mendabik dada untuk mewar-warkan usaha yang dilakukan untuk membantu rakyat yang kurang bernasib baik, tetapi  tindakan pembangkang di Pulau Pinang menghulurkan bantuan RM100 kepada warga emas pula mendapat publisiti meluas media massa.

“Sebaliknya, rakyat tidak tahu bahawa kerajaan Pusat membelanjakan lebih RM1 bilion untuk membantu golongan kurang bernasib baik seperti rakyat berpendapatan rendah dan orang kurang upaya.

“Usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan masalah tanah di Perak misalnya akan terus diberi perhatian serius oleh kerajaan Pusat dan negeri di bawah pimpinan Dr Zambry,” katanya lagi.

Beliau berkata, isu pemilikan tanah yang membabitkan kawasan pertanian, penternakan ikan hiasan dan air tawar perlu ditangani secara baik bagi memastikan kepentingan semua pihak terjamin.

Jelasnya, dengan kerjasama kerajaan negeri, MCA Perak sudah mewujudkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon untuk mengenalpasti dan menyenaraikan setiap masalah berkaitan tanah yang dihadapi petani dan penternak.

“Selain pertanian dan penternakan, masalah tanah untuk rumah ibadat dan tanah perkuburan bukan Islam juga akan diberi perhatian oleh jawatankuasa ini,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");