Perak Hari Ini

Lorong khas peminat wanita

Peminat bola sepak Perak, khususnya kaum wanita menerima khabar gembira apabila satu lorong khas bagi kegunaan mereka akan ditambah pada laluan masuk di pintu B dan pintu E.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Abd Aziz Yeop Jamaluddin berkata, laluan berkenaan diwujudkan dengan tujuan bagi memberi keselesaan kepada kaum wanita ketika masuk dan keluar dari stadium.

Menurutnya, sebelum ini, mereka (wanita), terpaksa berhimpit-himpit dalam keadaan yang sesak bersama-sama dengan golongan lelaki hingga pernah mencetuskan beberapa insiden yang tidak baik.

“Laluan ini adalah dikhususkan kepada kaum wanita, terutamanya mereka yang membawa anak-anak kecil ke stadium.

“Diharap dengan adanya lorong ini, kehadiran peminat, khususnya wanita akan bertambah ramai bagi memberi sokongan kepada skuad Perak,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abd Aziz juga berkata, lorong berkenaan akan mula dibuka pada perlawanan menentang Negeri Sembilan malam ini.

Sementara itu, Abd Aziz berkata, hasil persefahaman dan kerjasama bersama pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kemudahan infrastruktur di stadium telah dibaik pulih demi keselesaan penonton.

Katanya, antara kemudahan yang dibaik pulih adalah mengemaskini ruangan solat di surau lelaki dan wanita selain memastikan kebersihan tandas agar selesa digunakan.

“Selain itu, keselamatan kenderaan di sekitar stadium juga akan diawasi termasuk menempatkan ruang perniagaan makanan, cenderamata di lokasi yang bersesuaian.

“Dengan beberapa kemudahan yang telah siap dibaik pulih adalah diharapkan agar semua peminat bola sepak Perak tidak kira dari pelosok mana sekalipun, dijemput hadir ke stadium bagi memberi sokongan padau kepada pasukan serta mengembalikan gema sorakan Kejor Yob Kejor seperti sebelum ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");