Perak Hari Ini

Naik taraf terminal bas Gopeng

Terminal Bas Expres Medan Gopeng, Ipoh

Terminal Bas Ekspres Medan Gopeng perlu dinaikkan taraf perkhidmatannya bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penumpang serta meningkatkan imej bandar raya ini di mata pelancong.

Pengerusi Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Shaferi Khairuddin berkata, keadaan tempat letak kereta yang gelap dan jalan berlopak membahayakan pengguna terutama dalam kalangan wanita yang melalui kawasan ini.

Menurutnya, hak pengguna perlu diutamakan dalam memberikan perkhidmatan baik kepada mereka yang sentiasa menggunakan pengangkutan awam terutama pada musim perayaan.

“Setelah melawat terminal ini, kita dapati banyak kemudahan perlu dinaikkan taraf untuk keselesaan pengguna. Terminal bas ini kelihatan terlalu sesak dan tidak selesa terutama pada musim perayaan.

“Selain itu, kemudahan di sini perlu ditambah seperti tandas kerana penumpang terpaksa beratur untuk menggunakannya. Terminal ini perlu diubah suai selari dengan masyarakat kini yang semakin moden dan bergerak pantas,” katanya kepada Sinar Harian pada pameran PPPM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKJR Negeri, Laila Mazwin Zakaria dan Penolong Pengurus Operasi Terminal Ekspres Variety Sdn Bhd, Hashim Abd Rahman.

Shaferi berkata, kedudukan gerai jualan yang tidak bersistematik menambahkan lagi kesesakan dalam terminal itu.

“Banyak gerai jualan di tengah terminal ini menjadikan lagi sesak dan tidak selesa. Bagaimanapun, ia tidak boleh menjadi 100 peratus sempurna. Kerjasama antara pelbagai pihak pengurusan perlu ditingkatkan bagi menaikkan taraf terminal ini,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, kesesakan ini hanya berlaku pada musim perayaan namun, pihaknya merancang untuk menaik taraf terminal ini untuk meningkatkan perkhidmatan dan keselesaan penumpang di terminal ini.

“Kesesakan berlaku hanya pada musim perayaan dan pada hari biasa, kadang kala tiada penumpang langsung. Bagaimanapun, kita akan patikan penumpang selesa dan menguruskannya secara sistematik.

“Keselamatan penumpang terjamin dan setakat ini, tiada ulat tiket berlaku di terminal ini. Penjaga keselamatan tetap ada untuk jaga keselamatan penumpang,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memperbaiki perkhidmatan sekiranya ada aduan dari pengguna di terminal ini.

“Awal tahun ini, tiada aduan diterima kepada pihak pengurusan yang mengatakan ketidakcekapan pengurusan terminal ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");