Berita Hari Ini

Najib Minta Bahagian Umno Selesaikan Masalah Dalaman

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu menasihatkan semua bahagian supaya menyelesaikan segera masalah dalaman di bahagian masing-masing agar parti lebih mantap dan padu.

“Kita dengar apakah permasalahan dalaman. Saya telah nasihat pada mereka supaya lebih padu lagi, dari segi kepimpinan,

“Mana-manapun ada (masalah dalaman), tetapi tidak sampai parti kita rapuh seperti parti lain, tidak ada yang tinggalkan Umno. Cuma kita minta mereka kendurkan perselisahan faham di bahagian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas dengan 152 Ketua Bahagian UMNO di sini.

Najib berkata walaupun perselisihan faham itu tidak boleh diselesaikan 100 peratus, sekurang-kurangnya ia boleh diredakan supaya tidak menjejaskan perjalanan bahagian terbabit.

“Dalam sistem demokrasi mesti ada persaingan. Ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi kita perlu uruskan supaya ia tidak menjejaskan kelicinan pentadbiran di peringkat bahagian,” katanya.

Najib menyifatkan perjumpaan beliau dengan ketua bahagian UMNO hari ini sebagai cukup berfaedah walaupun mengambil masa yang panjang memandangkan beliau dapat mendengar hasrat daripada ketua bahagian yang kebanyakannya bukan merupakan ahli parlimen, serta rintihan rakyat yang dikemukakan mereka.

“Ada yang timbulkan soal kecil, masalah infrastruktur, pasal hospital, sekolah dan sebagainya. Saya ambil maklum segala-galanya yang mereka bangkitkan. Ada juga yang bawa memorandum, kita akan kumpulkan.

“Mana yang perlu masa lebih lama, kita akan timbangkan kerana bukan semua tuntutan boleh selesai dalam masa singkat,” katanya.

Pertemuan Najib dengan ketua bahagian UMNO dari seluruh negara itu tidak membabitkan Menteri Besar, Anggota Parlimen, Menteri dan Timbalan Menteri bermula sejak 8.30 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi Politik (PTP) yang menjadi agenda utama UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini Najib telah mengadakan perjumpaan dengan Anggota-anggota Parlimen BN dan diikuti dengan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri BN dari Sarawak di Miri.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");