Berita Hari Ini

Najib Tabik Semua Yang Terlibat Jayakan Ops Piramid

Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan penghargaan dan “tabik” kepada semua pihak yang terlibat membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir untuk pulang dengan selamat ke tanah air.

“Secara peribadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap seorang yang terlibat, tidak kira latar belakang etnik mereka, dalam menjayakan Ops Piramid. Terima kasih,” kata Perdana Menteri dalam blog beliau www.1malaysia.com Khamis.

Beliau menyifatkan usaha dalam “Ops Piramid” sebagai lambang semangat 1Malaysia.

“Ops Piramid tidak akan mencapai kejayaan besar tanpa semangat 1Malaysia. Semangat inilah yang menyatukan semua pihak — daripada individu sehingga ke pertubuhan besar — dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita, rakan-rakan dan anggota keluarga dalam menempuh saat getir sebegini.

“Tanpa mengira etnik, umur atau pegangan agama, semua pihak yang terlibat telah berusaha sedaya upaya untuk menolong rakyat Malaysia yang lain. Saya tahu ramai daripada anda sanggup korbankan waktu tidur bagi memastikan proses evakuasi ini berjalan lancar. Saya tabik kepada kegigihan dan kesabaran anda,” kata Perdana Menteri.

Ops Piramid adalah satu misi tajaan kerajaan Malaysia untuk membawa keluar rakyat dan pelajar negara ini yang terperangkap di Mesir, untuk dibawa ke Jeddah dan kemudian ke Malaysia, akibat pergolakan di Mesir.

Kumpulan pertama dibawa pulang ke tanah air pada Isnin lepas. Sehingga semalam, seramai 7,209 orang telah dibawa ke Jeddah manakala 1,439 telah kembali ke tanah air.

Mengimbas mengenai keputusannya untuk membawa pulang rakyat Malaysia itu, Najib berkata memandangkan terdapat ramai warga negara ini di Mesir, kerajaan telah meneliti situasi dan menyediakan satu pelan tindakan untuk membawa mereka keluar dari Mesir.

Beliau berkata bahawa setelah universiti-universiti di Mesir ditutup dan bantahan rakyat semakin memuncak, pelajar terpaksa berkurung di kediaman masing-masing manakala bekalan makanan pula berkurangan dan komunikasi dengan dunia luar disekat.

“Saya dapat bayangkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa mereka ketika itu. Jadi, kita rasa amat lega dapat menyambut kepulangan lebih 700 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan beberapa penerbangan sewa khas,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata bahawa kerajaan bersama sektor swasta telah menggunakan pelbagai sumber yang ada untuk mempercepatkan proses itu dan akan mencari jalan untuk memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian mereka.

Perdana Menteri juga berharap rakyat Malaysia yang memilih untuk terus berada di Mesir supaya saling membantu dalam keadaan yang mencabar sekarang.

“Kami akan sentiasa mendoakan keselamatan anda,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");