Perak Hari Ini

NCIA gesa sektor swasta bantu kerajaan bangunkan NCER

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menggesa sektor swasta agar berganding bahu dengan kerajaan Pusat untuk membangunkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang sebahagiannya turut membabitkan kawasan utara Perak.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata ia selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia ke Sepuluh (RMK-10) yang ingin menjadikan sektor swasta sebagai penyumbang kepada pembangunan di wilayah berkenaan.

Katanya, salah satu projek yang membabitkan sektor swasta di utara Perak ialah, ternakan lebah madu yang dijalankan dengan kerjasama Floral Bee Hive Enterprise Sdn Bhd.

“Sebagai permulaan, NCIA dan syarikat ini melabur lebih RM38 juta untuk melaksanakan projek ternakan lebah madu secara berkelompok di Kamunting membabitkan 200 peserta.

“Kos sebenar bagi setiap penternak ialah RM56,500 iaitu FBH memberi subsidi kepada peserta sebanyak RM26,500 yang mana pakej pembiayaan bagi setiap penternak adalah RM30,000.

“FBH juga bertindak sebagai penjamin pembiayaan kepada setiap penternak,” katanya di Kamunting, semalam.

Katanya, melalui konsep agro-pelancongan itu, peserta akan dilatih bagi setiap proses ternakan lebah madu sehingga menghasilkan Royal Jelly.

Redza Rafiq berkata, lebah dan ratu lebah akan dibekalkan melalui pengurusan induk bagi mengawal kualiti dan harga belian untuk pendapatan yang maksima.

“Hasil Royal Jelly ini akan dipasarkan melalui syarikat induk dan harga belian dan jualan akan ditentukan oleh pengurusan mengikut harga dan keadaan pasaran tempatan serta luar negara.

“Selain itu, pengurusan juga akan terus membantu para peserta dari segi membuka lebih banyak peluang perniagaan dalam produk berasaskan madu lebah,” katanya.

Beliau berkata, peserta yang menyertai projek ini berumur lingkungan 16 hingga 60 tahun dan ia bakal dimulakan pada Mac atau April depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi FHB, Kamaruddin Deo, berkata projek itu tidak memerlukan tapak yang luas dan hanya berada pada jarak antara lima hingga 10 km dari rumah peserta.

Katanya, pusat latihan ternakan lebah madu di Taiping akan bertindak sebagai medium melatih para peserta secara teori dan praktikal.

“Kamunting dipilih sebagai projek perintis ternakan lebah madu secara berkelompok di Perak sebelum ia diperluaskan ke kawasan lain pula.

“Kita jangka peserta projek ini akan meraih pendapatan lebih RM800 sebulan,” katanya.

Kamaruddin berkata, syarikatnya akan membeli produk yang dihasilkan peserta secara pukal dan 70 peratus keluaran FBH dieksport ke luar negera seperti Amerika dan negara Eropah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");