Perak Hari Ini

Negara Islam disaran anjur demonstrasi secara konsisten demi masa depan Palestin

Negara dan umat Islam dari seluruh dunia harus berani menganjurkan demonstrasi secara konsisten bagi menentang penaklukan Israel dan rakan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) di bumi Palestin, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, demonstrasi besar-besaran menentang Amerika Syarikat yang berlaku di Mesir baru-baru ini wajar dijadikan contoh oleh negara Islam dalam memperjuangkan nasib rakyat dan pembebasan bumi Palestin.

“Selama ini, negara Islam di seluruh dunia gagal bekerjasama untuk menganjurkan demonstrasi secara konsisten menentang Israel dan Amerika Syarikat kerana dibayangi perasaan takut dibuli dan bimbang akan dipinggirkan.

“Walaupun tahu tindakan kedua-dua negara itu salah, tiada siapa termasuk pemimpin negara Islam berani menentang kerana jika kita buat perkara yang mereka tidak suka, Amerika Syarikat akan ambil tindakan haram atau sekat produk eksport dari negara ini atau negara lain yang lantang menentang dasar mereka,” katanya pada Forum Perdana Ehwal Islam yang mengupas tajuk Palestine- A Global Issue di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, malam tadi.

Dr Mahathir yang juga Canselor UTP dijemput sebagai ahli panel forum terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan turut disertai Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestine Malaysia (PACE), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

Forum itu juga julung-julung kali menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium perantara dalam sejarah penerbitan JAKIM dan ia juga merupakan kali pertama Dr Mahathir menjadi panel dalam rancangan berkenaan.

Sementara itu, Dr Mahathir berharap kerajaan baru yang mengambil pentadbiran Husni Mubarak di Mesir akan lebih bersimpati dan berusaha untuk membantu rakyat Palestin menjalani kehidupan yang normal.

Namun, semua itu katanya, bergantung kepada tindakan undang-undang antarabangsa seperti menjadikan peperangan itu sebagai jenayah.

Jelasnya, mengikut undang-undang antarabangsa, mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat sendiri tidak boleh menggunakan unsur kekerasan terhadap negara lain.

“Tetapi jika mereka (Amerika Syarikat) guna kekuatan ketenteraan terhadap rakyat Palestin, maka masa depan negara Islam itu akan terus berada dalam kegelapan,” jelasnya lagi.

Tambah Dr Mahathir, walaupun berhadapan sekatan dari Amerika Syarikat, umat dan negara Islam tidak boleh berputus asa untuk membantu rakyat Gaza dan Palestin.

Katanya, negara Islam perlu menyatakan pendirian tegas terhadap isu pencerobohan ini dan terus menyalurkan bantuan kepada Palestin.

“Kita perlu bantu rakyat Gaza dan rakyat Palestin dengan menghantar makanan, ubat-ubatan atau bahan binaan  agar semangat juang mereka terus hidup bagi menentang ketidakadilan yang dilakukan oleh Israel.

“Selain itu, jangan sesekali kita berputus asa dalam memperjuangkan pembebasan rakyat dan bumi Palestin ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");