Isu Panas

Ops Piramid akan tamat dalam tempoh terdekat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut ketibaan kumpulan pertama pelajar dan rakyat Malaysia di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini. Kumpulan pertama ini seramai 788 orang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yakin Ops Piramid akan tamat dalam tempoh terdekat ekoran kejayaan membawa lebih separuh daripada rakyat Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Panglima TUDM, Jen Tan Sri Rodzali Daud, berkata tiga pesawat C-130, bersama lima pesawat komersial iaitu dua pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan tiga pesawat AirAsia telah berjaya mengeluarkan 6,777 rakyat Malaysia sehingga 1.15 tengah hari ini.

“Kita menjangkakan operasi memindahkan sebahagian lagi pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah akan selesai sama ada hari ini atau esok. TUDM amat bersyukur kerana dapat melaksanakan Ops Piramid berkenaan dengan jayanya,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.

Beliau berkata kapal Auxillary Tentera Laut Diraja Malaysia, MV Bunga Mas 5 yang tiba di pelabuhan Suez, Mesir pada Sabtu lepas, dilaporkan dalam keadaan bersiap sedia bagi membantu pada bila-bila masa jika diperlukan.

“Ada kemungkinan kapal berkenaan akan digunakan tetapi kita tengok keadaan semasa dan ia akan berlabuh di situ sehingga 15 Februari ini,” katanya.

Rodzali berkata TUDM mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tentera Udara Arab Saudi kerana telah membantu TUDM dalam memudahkan urusan pemindahan rakyat Malaysia.

“Tentera Udara Arab Saudi sangat membantu kita dalam mempercepatkan usaha memindah rakyat Malaysia dengan memberi laluan udara kepada pesawat TUDM dan membantu dalam mengisi minyak serta oksigen pesawat,” katanya.
Ops Piramid adalah usaha kerajaan membawa rakyat Malaysia terutama golongan pelajar di Mesir untuk berpindah ke Jeddah di Arab Saudi ekoran pergolakan yang berlaku di Mesir. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");