Perak Hari Ini

Perak Akan Dapat Lapan Lagi Kiosk NGV – Kong Cho Ha

Perak akan mendapat lapan lagi kiosk Gas Asli Kenderaan (NGV) tahun ini, yang akan dihubungkan kepada stesen minyak Petronas sedia ada.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata lima kiosk akan beroperasi sebelum Mac, dua sebelum Mei dan satu sebelum Disember ini.

Kiosk itu akan dibina di Ipoh iaitu di Kampung Kepayang; Tasek; Lahat; Taman Putra Indah; Pengkalan Utama; Sungai Raya dan Bandar University; Tronoh selain di Kamunting, Taiping, katanya menerusi satu kenyataan Rabu.

Kong berkata pada Januari lepas, beliau menghantar surat kepada Petronas dan mencadangkan lebih banyak kiosk NGV di Perak susulan dialog antara badan bukan kerajaan dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Ipoh.

“Dalam perjumpaan itu, persatuan pemilik teksi tempatan mengemukakan perkara berhubung keperluan menambah jumlah kiosk NGV di Perak dengan empat kiosk yang beroperasi masa ini yang terletak di Simpang Lima dan Kampung Kedah (Parit Buntar), Taman Samudera (Manjung) dan Aulong (Taiping),” katanya.

Kong yang juga Setiausaha Agung MCA merakamkan penghargaan kepada Petronas kerana memberi jawapan yang pantas dan positif berhubung perkara itu. — BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");