Perak Hari Ini

Sifat ikhlas, utamakan kepentingan umat dan Islam

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah sifat ikhlas, kejujuran kepimpinan, pengorbanan dan sentiasa mengutamakan kepentingan umat serta Islam di kalangan pemimpin adalah kunci yang membawa kepada kejayaan, kemakmuran dan keadilan sejagat.

Titahnya, remaja waktu ini ketara semakin gelisah dengan urusan dunia yang mereka lihat jauh menyimpang  daripada kepimpinan tulen yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Baginda bertitah, rasa rindu golongan remaja terhadap pimpinan bertanggungjawab kepada ummah dan watan, yang bersih dari rasuah, yang tidak menyalahguna kuasa dan tidak menyeleweng amanah kini disuarakan secara terbuka melalui saluran media tempatan dan antarabangsa.

“Keresahan golongan remaja ini dijelmakan melalui saluran media tempatan dan antarabangsa, komunikasi moden, pelbagai gerakan dan apabila tidak terkawal, ia menyusul dengan tindakan lebih agresif.

“Kejadian yang berlaku di beberapa negara pada waktu ini perlu dijadikan pengajaran untuk para pemimpin yang diberi amanah, tanggungjawab serta kepercayaan rakyat.

“Hayatilah di dalam diri segala kebaikan contoh yang diperlihatkan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW dalam memenuhi amanah dan melaksanakan tanggungjawab termasuk mengamalkan sikap yang mementingkan ummah yang ramai, mengatasi kepentingan diri dan keluarga sendiri,” titahnya sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Chemor, pagi ini.

Hadir sama, Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sultan Azlan bertitah, langkah pembetulan dan pembaikan perlu segera dilaksanakan demi menjamin dunia yang lebih aman, makmur, adil dan saksama.

Baginda bertitah, demografi penduduk dunia menunjukkan pada 1990, 20 golongan peratus remaja dunia berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 29 tahun adalah remaja Islam.

Peratus remaja Islam titahnya, meningkat kepada 26 peratus pada 2010 dan diunjur mencapai 29 peratus daripada jumlah remaja dunia pada 2030.

“Meskipun majoriti mereka dilahirkan di negara mundur dan miskin, semakin ramai yang berhijrah ke negara maju dan terdedah kepada kemajuan, pembangunan serta bentuk pemerintahan.

“Kesannya, remaja Islam di seluruh dunia semakin terdedah dan terbuka pemikiran mereka,” katanya.

Baginda bertitah, golongan remaja yang terpelajar dan berilmu memiliki daya analisis yang kritikal, dapat membezakan yang benar dan palsu serta berani mengambil risiko untuk melakukan perubahan.

Dalam suasana begini, titahnya, semakin ramai yang kembali merujuk kepada ajaran yang dijadikan contoh teladan oleh Nabi Muhammad dan para sahabat seperti sifat pengorbanan, keikhlasan dan kejujuran demi kepentingan Islam dan umat.

Pada majlis itu juga, Sultan Azlan berkenan merasmikan Masjid Jamek, Medan Klebang Restu yang dibina dengan kos RM1.9 juta pada 2008.

Titahnya, masjid adalah pusat menjana kebenaran yang berteraskan ilmu dan fakta.

“Ibadah, perpaduan serta penyebaran ilmu hendaklah dijadikan pengisian dalam memberi roh kepada masjid bagi membina umat yang cemerlang, bersaudara, bersatu-padu, saling hormat-menghormati dan saling kasih-mengasihani.

“Jawatankuasa dan pegawai masjid yang diberi amanah menguruskan masjid hendaklah sentiasa berikhtiar untuk memakmurkan masjid pada setiap masa supaya rumah ibadat ini berjaya menjana cahaya indah Islam di persekitarannya,” titah Sultan Azlan lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");