Perak Hari Ini

Suspek Pemalsuan Dokumen Guna Nama Menteri Besar Perak Dikenal Pasti

Polis telah mengenal pasti beberapa suspek dalam kes pemalsuan dokumen yang menggunakan nama Menteri Besar dan jabatan kerajaan negeri Perak.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak Datuk Azhar Ahmad berkata beliau dimaklumkan oleh polis bahawa individu yang menjadi dalang dalam kes pemalsuan itu telah dikenal pasti untuk didakwa di mahkamah.

“Hasil siasatan rapi pihak polis ini juga akan membersihkan nama dan imej kerajaan negeri. Ini kerana kes ini telah mencalarkan nama baik dan imej kerajaan serta kakitangan yang bertugas,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran K-Bakap dan penyerahan beg sekolah kepada 280 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap pada Jumaat.

Isnin lepas, Azhar membuat dua laporan polis berhubung kes pemalsuan dokumen yang menggunakan nama Menteri Besar serta jabatan kerajaan negeri oleh pihak tertentu bagi tujuan menipu.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan kumpulan tersebut supaya tampil membuat laporan di balai polis bagi membantu siasatan selain mendapatkan pengesahan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Jangan biarkan mereka menipu dan apa yang kita harus faham ialah pejabat Menteri Besar, termasuk Pegawai Khas beliau, tidak mempunyai kuasa meluluskan permohonan tanah,” katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya berhati-hati, malah buat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika didatangi individu seperti itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");