Perak Hari Ini

Tiga lagi PAPN bakal beroperasi di Perak tahun ini

Tiga lagi Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) akan beroperasi di Perak tahun ini, khusus bagi memberi pendidikan awal yang sempurna kepada kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun.

Yang Di Pertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Saripah Zulkifli, berkata setakat ini, dua pusat berkenaan sudah beroperasi di negeri ini iaitu PAPN Bercham di Ipoh dan PAPN Felda Besout; Sungkai.

Beliau berkata, tiga pusat baru yang akan dibuka itu ialah PAPN Teluk Intan, Parit Buntar dan Pangkor.

Selain itu, kerajaan negeri katanya, turut menubuhkan 10 PAPN di setiap Pejabat Tanah dan Daerah bagi memudahkan kakitangan awam yang bertugas di situ menghantar anak mereka untuk mendapat pendidikan dan penjagaan yang lebih sempurna.

“PAPN di setiap daerah ini akan menggunakan modul PERMATA dan kanak-kanak yang dihantar ke sini akan mendapat bimbingan guru yang terlatih.

“Selain itu, operasi pusat ini akan sentiasa dipantau perkembangannya termasuk menggunakan sepenuhnya modul yang disediakan, latihan kepada tenaga pengajar dan kemudahan yang digunakan ,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Saripah bersama rombongan BAIDURI menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada 31 kanak-kanak dari PAPN Bercham. Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie.

Saripah berkata, terdapat 33 taska kendalian Jabatan Kemajuan Malaysia (KEMAS) di seluruh Perak yang menggunakan modul PERMATA.

“Setakat ini, 23 daripadanya sudah dinaiktaraf sebagai taska PERMATA kerana ia sudah mencapai standard PAPN,” katanya lagi.

PAPN katanya, ditubuhkan bagi memberi kemudahan kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan bawah RM1,000 sebulan untuk mendapat pendidikan awal yang sempurna.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");