Perak Hari Ini

RM687,300 diserahkan untuk Tabung Bencana NSTP-Media Prima

Yayasan Sultan Azlan Shah dan Kerajaan Perak masing-masing menyumbang RM100,000 kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima sebagai bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun selepas negara itu dilanda gempa bumi pada skala 9.0 Richter, 11 Mac lalu.

Sumbangan itu diserahkan dalam satu perjumpaan bersama masyarakat Jepun di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh, petang ini yang dihadiri Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah selaku mewakili  Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Secara keseluruhan, sejumlah RM687,300 berjaya dikumpul untuk Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang kemudiannya diserahkan kepada Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Raja Nazrin bertitah, sejak 30 tahun lalu, Jepun membawa pengaruh positif kepada ekonomi Malaysia yang turut menjadikan negara itu sebagai contoh dalam mencorak pembangunan negara ini.

“Negara Jepun menjadi inspirasi serta panduan kepada banyak negara di seluruh dunia terutamanya di rantau ASEAN sejak berdekad-dekad lamanya.

“Negara ini juga sejak 50 tahun lalu menjadi kuasa ekonomi utama dunia sekaligus menjadi kebanggaan rantau Asia,” titahnya pada majlis perjumpaan bersama lebih 200 masyarakat Jepun di kediaman rasmi Menteri Besar.

Hadir sama, Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Titahnya, rakyat Malaysia dan Perak khususnya turut sama ingin menyumbang kepada pemulihan Jepun dan apabila perjumpaan ini dicadangkan, banyak pihak tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

“Yayasan Sultan  Azlan Shah tidak ketinggalan menyumbang RM100,000 untuk diserahkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima sebagai usaha membantu rakyat Jepun yang terjejas dengan kejadian gempa bumi dan tsunami itu,” titahnya.

Nazrin bertitah lagi, semangat dan sikap tenang yang ditunjukkan mangsa bencana alam itu begitu tinggi dan mereka tidak teragak-agak membantu yang lain walaupun rumah serta harta benda mereka musnah dalam kejadian itu.

“Dunia sekarang kembali memandang ke Timur tetapi bukan terhadap pembangunan dan kepakaran teknologi Jepun, sebaliknya melihat ketahanan, kekuatan dan tanggungjawab rakyatnya terhadap masyarakat negara itu dalam menghadapi masa sukar.

“Kita dapat menyaksikan bagaimana 500,000 rakyat Jepun dipindahkan tetapi tiada berlaku kesesakan atau rusuhan…..mereka begitu tenang dan sabar berbaris panjang untuk mendapatkan bekalan air, makanan dan bahan api,” titah Nazrin lagi.

Sebelum itu, Raja Dr Nazrin bersama hadirin turut bertafakur sebagai tanda menghormati mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tsunami yang direkodkan sebagai kejadian terburuk dalam tempoh 140 tahun.

Konsul General Jepun di Pulau Pinang, Tetsuro Kai, pula berkata pihaknya begitu menghargai simpati dan sokongan yang diberikan oleh Sultan Perak dan kerajaan negeri kepada mangsa gempa bumi dan tsunami dengan menganjurkan perjumpaan itu.

Katanya, dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGOS) dan pertubuhan lain, kerajaan Jepun dapat menjalankan operasi mencari dan menyelamat, pemulihan dan operasi bantuan lain termasuk dalam menangani krisis nuklear di Daiichi.

“Berikutan kejadian ini, sokongan dan rasa simpati diterima dari seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri dan kami amat menghargai sumbangan yang diberikan bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami.

“Saya juga berdoa agar negara Jepun dapat mengharungi masa sukar ini dengan sokongan dan bantuan yang dihulurkan rakyat Malaysia dan seluruh dunia,” katanya lagi.

Antara penyumbang lain yang tampil menghulur derma ialah UMNO Perak (RM50,000); Ipoh International School (RM13,000); Syarikat Larut Jaya Sdn Bhd (RM25,000); Kelab Bakti Gunung Kledang (RM20,000); Lembaga Air Perak (RM25,000) Datuk Kelvin Tan Aik Pen (RM50,000), Perak Turf Club (RM50,000); Perbadanan Kemajuan Pertanian Perak (RM25,000) dan Bonanza Ventures Holdings (RM10,000).

KLIK PADA LINK UNTUK KE GALERI SEKITAR MAJLIS

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");