Berita Hari Ini

Manifesto bela rakyat

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berpegangan tangan bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Presiden BN Sarawak serta Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan (tiga dari kiri); Presiden SUPP, Tan Sri George Chan (dua dari kanan) dan Presiden PRS, Datuk Seri James Jemut Masing (kanan) serta pemimpin komponen lain ketika menghadiri mesyuarat bersama Presiden Parti Komponen BN di Kuching, semalam.

Keperluan, kesejahteraan penduduk pelbagai kaum di Sarawak tetap diutamakan kerajaan

KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 bulan depan memberi fokus kepada isu yang diberi perhatian oleh rakyat dengan tema konsep rakyat didahulukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata manifesto itu yang sudah pada peringkat akhir disiapkan, akan dilancar Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas penamaan calon pada 6 April ini.

“Kita ada tajuk yang akan diperkenalkan, membabitkan keperluan dan keutamaan rakyat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya selepas perjumpaan tertutup kira-kira dua jam bersama ahli Majlis Tertinggi BN Sarawak, di sini semalam.

Berita Harian difahamkan, tema manifesto BN kali ini ini adalah mengajak rakyat bersama-sama kerajaan mentransformasi Sarawak ke arah kemakmuran serta kualiti hidup lebih baik.

Manifesto komprehensif itu dikatakan memberi penekanan kepada keharmonian kaum, kestabilan politik, tadbir urus baik, pemuliharaan alam sekitar, memulihara budaya semua kaum, menyediakan peluang pekerjaan mencukupi, peluang pendidikan dan ekonomi, menjanjikan kehidupan rakyat lebih baik serta memastikan kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik dipertingkatkan terutama di luar bandar.

Ia juga dipercayai menyentuh kepada usaha menjadikan Sarawak negeri terkaya di Malaysia menjelang 2030 serta janji yang sudah ditunaikan BN kepada rakyat Sarawak serta kejayaan BN sepanjang menerajui Bumi Kenyalang.
Pada pilihan raya negeri Sarawak 2006, BN Sarawak menampilkan slogan Sarawak yang Aman, Progresif dan Makmur menerusi manifesto yang melakar masa depan negeri, kisah kejayaan dan janji ke arah pengagihan kekayaan secara saksama di kalangan semua kaum di negeri itu.

Muhyiddin juga berkata, BN Sarawak sudah berada pada tahap persiapan paling tinggi dengan ‘mood’ untuk menggerakkan jentera pilihan raya pada bila-bila masa.

“Saya berpuas hati dengan persiapan, cukup terperinci mengambil kira semua keperluan dan kita pasti dapat mempertahankan kedudukan Sarawak di bawah BN.

“Kita juga sudah mengambil kira mengenai bidang utama yang akan diberikan fokus di Sarawak dengan gerakan dipimpin Ketua Menteri Sarawak dan kami di peringkat BN Pusat akan mengambil kira semua perkara untuk membolehkan kita mencapai sasaran memperoleh kemenangan seperti diharapkan,” katanya.

Hadir sama Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Jemut Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");