Perak Hari Ini

256 kampung Orang Asli di Perak akan diwartakan sebagai tanah rizab

Kerajaan negeri kini dalam proses mewartakan 256 kampung Orang Asli di Perak sebagai tanah rizab bagi melindungi kepentingan dan hak masyarakat itu daripada kegiatan pencerobohan tanah secara haram.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ketika ini, 28 daripada kampung itu diwartakan sebagai tanah rizab dan melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), proses itu dapat dilaksanakan sepenuhnya secara berperingkat-peringkat.

“Cadangan mewartakan kawasan perkampungan sebagai tanah rizab sering dibangkitkan oleh Tok Batin bagi mengelak  tanah milik mereka diceroboh secara haram oleh kelompok tertentu.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan membiarkan kawasan perkampungan OrangAsli diceroboh kerana ada  berlaku kes di mana pihak tertentu mengusahakan tanaman kelapa sawit dan apabila disiasat rapi, ia memang terbukti pencerobohan tanah secara haram,” katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Terdahulu, Dr Zambry merasmikan penutup Seminar Memperkasakan Batin-Batin Orang Asli Perak anjuran JKOA negeri yang dihadiri 144 peserta yang mewakili enam daerah termasuklah Kinta, Batang Padang, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, bagi melaksanakan program pengupayaan Orang Asli, kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM1.5 juta tahun ini berbanding hanya RM1 juta tahun 2010.

Perak katanya, antara negeri di Malaysia yang berjaya melaksanakan program menyeluruh bagi menangani masalah, hal ehwal serta dan kemajuan Orang Asli.

“Terdapat 54,000 masyarakat Orang Asli di Perak, kedua tertinggi selepas Pahang dan kita mengadakan pelbagai program dalam usaha mengupayakan mereka termasuk siri seminar dan lawatan sebagai pendedahan kepada dunia luar.

“Seminar yang dihadiri 144 Batin ini sebagai contoh membuka ruang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan kerajaan negeri dan JKOA, mendekatkan jurang antara kedua-dua belah pihak serta mengenalpasti permasalahan dan mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.

Apa yang lebih penting kata beliau, kerajaan negeri sentiasa komited untuk membantu masyarakat Orang Asli dan mengakui terdapat kekurangan atau kelemahan yang perlu diperbaiki agar program yang dirancang itu mencapai matlamat dan sasaran.

Pada majlis itu juga, Dr Zambry menyampaikan elaun bulanan kepada Tok Batin serta Anugerah Cemerlang Orang Asli SPM 2010 kepada Rozita Itam, yang mendapat keputusan 8A 2B dalam peperiksaan itu.

Beliau membawa pulang sebuah komputer riba dan wang tunai RM300 hasil sumbangan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan JKOA, Nisra Nisran Asra Ramlan, berkata jabatan itu memperuntukkan RM7 juta menyalurkan bekalan air bersih kepada lapan kampung Orang Asli di Perak tahun ini.

Sejumlah RM4 juta juga katanya, dibelanjakan untuk program pembangunan modal insan termasuk bantuan makanan, pengangkutan dan biasiswa bagi mengeluarkan masyarakat Orang Asli dari kepompong kemiskinan.

“JKOA juga mengenalpasti tanah seluas 80 hektar di Perak yang dibangunkan dengan tanaman pisang dan koko membabitkan tiga perkampungan termasuklah Pos Bersih di Batang Padang dan Pos Raya, dekat Simpang Pulai.

“Selain itu, kita turut membantu golongan muda-mudi Orang Asli mencari pekerjaan dan dijangka 1,000 daripada mereka ini akan memasuki pasaran kerja di Perak tahun ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");