Perak Hari Ini

Bau loji kumbahan ganggu penduduk

MOHD. Ravi Abdullah (lima, kiri) bersama sebahagian penduduk Desa Cempaka yang tidak berpuas hati dengan bau busuk air kumbahan berhampiran taman perumahan itu di Ipoh.

Selama hampir dua tahun penduduk taman perumahan Desa Cempaka menderita akibat terpaksa menahan bau busuk dari kolam loji kumbahan yang didakwa tidak berfungsi dengan sempurna.

Menurut mereka, keadaan menjadi lebih buruk terutamanya pada waktu tengah malam dan selepas hujan lebat.

Tidak tahan dengan keadaan tersebut, penduduk kemudiannya membuat aduan kepada Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) namun, aduan itu hanya dipandang ringan dan tiada sebarang tindakan diambil.

Seorang peniaga, Liew Ni Pan, 69, mendakwa, bau najis itu semakin kuat sejak dua tahun lalu apabila mesin menyelenggara yang berfungsi merawat loji kumbahan itu tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, mesin tersebut kadang-kala hanya berfungsi lima kali sebulan sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan kepada penduduk taman tersebut terutama 50 buah keluarga yang tinggal berhadapan loji itu.

“Saya telah buat aduan kepada IWK namun, mereka hanya datang sekali membuat tinjauan selepas itu senyap dan tiada sebarang tindakan diambil.

“Apabila kami menghubungi mereka semula dan membuat aduan yang sama beberapa kali, mereka memarahi kami semula yang dikatakan tidak sabar menunggu masalah itu selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Michelle Woo, 50, memberitahu, masalah itu perlu diatasi segera dan IWK perlu bertanggungjawab terhadap masalah tersebut kerana penduduk telah membayar perkhidmatan pembentungan di loji terbabit.

Katanya, setiap enam bulan penduduk di taman itu akan membayar RM48 kepada IWK dan bayaran itu perlu sejajar dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Mereka minta kami bayar, kami telah bayar. Sekarang mereka perlu jalankan kerja dan baiki mesin di loji ini supaya air kumbahan dapat dirawat dan tidak menimbulkan bau busuk di kalangan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd. Ravi Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan surat kepada IWK dan meminta pihak tersebut membaiki kerosakan mesin menyelenggara sehingga boleh berfungsi dengan sempurna.

“Kita akan pergi ke IWK dan menyelesaikan masalah ini dengan segera supaya penduduk di sini tidak perlu lagi berhadapan dengan persekitaran yang berbau busuk,” katanya ketika ditemui semasa melawat loji tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");