Berita Hari Ini

Bila Yang Dipertuan Agong bersuara

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Baginda menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang, keluhuran perlembagaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan persekutuan tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama penggal Kemepat Parlimen Ke-12 di Bangunan Parlimen, Isnin.

“Walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, malah hari perayaan agama lain yang mempunyai penganut teramai dijadikan sebagai hari cuti umum.

“Ini menunjukkan amalan kesederhanaan dan keterangkuman seperti dianjurkan oleh Islam telah diamalkan dengan subur di negara ini,” titah Baginda.

Turut hadir dalam istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan juga Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Tuanku Mizan juga mengingatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya mengelakkan daripada menyentuh sensitiviti dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Tuanku Mizan juga menyeru semua pihak supaya sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara.

“Jadilah warga yang bijak, bertanggungjawab dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Perbuatan memfitnah boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah,” titah baginda lagi.

Wakil rakyat juga tidak terkecuali dari teguran Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan bahawa segala tingkah laku mereka di dalam dewan sentiasa diperhatikan masyarakat.

“Pamerkanlah tingkah laku yang terpuji, berbahaslah dengan tertib, sumbangkanlah pemikiran yang bernas, laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan utamakanlah kepentingan rakyat. Ingatlah rakyat sentiasa menuntut perkhidmatan yang terbaik dari setiap pemimpin yang mereka pilih,” pesan Baginda.

Dalam titahnya Baginda juga mengucapkan tahniah kepada atlet negara yang mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa sepanjang tahun lalu dan menyuarakan harapannya untuk melihat Malaysia mememangi pingat emas pertama Sukan Olimpik di London pada 2012. – 7/3/2011.

SUMBER : Agenda Daily

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");