Perak Hari Ini

Denda ternakan berkeliaran mungkin naik kepada RM1,200: Dr Mah

Kerajaan negeri sedang menimbang cadangan untuk menaikkan denda yang dikenakan terhadap penternak yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran hingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata ketika ini, denda yang dikenakan di atas kesalahan itu ialah RM250 sahaja dan ia mungkin dinaikkan kepada RM1,200.

Cadangan itu katanya, dibuat selepas kerajaan negeri menerima banyak aduan dari semua daerah di Perak.

“Haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan perumahan dan jalan raya boleh mengganggu serta mengancam keselamatan pengguna. Ini kerana berlaku kes kemalangan yang membabitkan kematian disebabkan oleh ternakan yang berkeliaran,” katanya.

Dr Mah berkata, denda sedia ada tidak menghalang pemilik atau penternak daripada membiarkan lembu atau kerbau mereka daripada berkeliaran secara bebas di luar kurungan.

Katanya, ada sesetengah pihak mendakwa mereka adalah pemilik haiwan yang berkeliaran itu, membayar denda dan kemudian menjualnya untuk mendapat keuntungan.

“Kita meminta kerjasama Jabatan Veterinar untuk menyediakan garis panduan untuk menangani haiwan yang berkeliaran dan satu bengkel diwujudkan bagi mencari jalan untuk mengatasi masalah ini,” katanya dan salah satu cadangan yang diperkenalkan ialah sistem mikrochip bagi tujuan mengesan haiwan dan pemiliknya.

Dalam perkembangan lain, Mah berkata, sejak 1 Januari lalu, pegawai bahagian penguatkuasa di peringkat bandar dan setiap daerah di negeri itu  menerima elaun insentif antara RM150 dan RM100.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk menggalakkan mereka berkhidmat dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Terdapat kira-kira 209 pegawai dan penolong pegawai penguatkuasa di Perak setakat ini, kata Dr Mah lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");