Perak Hari Ini

DS Zambry akan berentap dengan bekas bintang bola sepak negara

Rakyat Perak terutamanya di daerah Kinta dijemput datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan Piala Amal Menteri Besar Perak yang akan membariskan bekas pemain kebangsaan dan pasukan pilihan Menteri Besar di Stadium Perak pada 30 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukan negeri, Datuk Azhar Ahmad, berkata antara bekas pemain kebangsaan yang turut serta dalam perlawanan itu ialah Datuk Santokh Singh, Syukor Salleh, Zainal Abidin Hasan dan Datuk Soh Chin Aun.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula beraksi dalam pasukan pilihan bersama bekas pemain Perak seperti Azizul Abu Hanifa dan Ahmad Shahrul Azhar Sofian.

“Perlawanan persahabatan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak itu akan bermula jam 8 malam dan tiket masuk dijual dengan harga RM3 sahaja.

“Ia boleh didapati di Pejabat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mulai Isnin ini atau pada hari perlawanan.

“Sehubungan itu, kita menjemput orang ramai dari seluruh Perak dan Kinta khususnya untuk datang beramai-ramai dan membanjiri Stadium Perak bagi menyaksikan perlawanan yang julung-julung kali diadakan ini,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Beliau berkata, selain aksi bekas pemain kebangsaan, orang ramai juga dapat melihat kemampuan Dr Zambry bermain bola sepak dalam tempoh 90 minit.

“Idea mengadakan perlawanan amal ini dicetuskan sendiri oleh Menteri Besar yang mana ia bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu bekas-bekas atlet yang bernaung di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Negara (YAKEB),” katanya.

Pasukan Menteri Besar akan diwakili oleh Mohd Zakaria Mohamed sebagai ketua jurulatih manakala barisan pemain yang akan diturunkan untuk beraksi ialah Azizul Abu Hanifa, Ramli Talib Ahmad Shahrul Azhar Sofian, A. Elangovan, Roanfandi Yusof dan Yusof Mohd Ghazalli.

Sementara itu, Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun, Namat Abdullah, Dollah Salleh, Hassan Sani, Azli Sham Ibrahim dan K. Gunalan adalah antara bekas pemain kebangsaan yang bakal memberi cabaran kepada pasukan pilihan Menteri Besar.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Mohd Zakaria Mohamed di talian 013-5308313 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perlawanan amal Piala Menteri Besar Perak ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");