Perak Hari Ini
Like

Enam penyokong HINDRAF didakwa di Ipoh

March 5, 2011
208 Views
0 Comments
2 minutes read
Enam penyokong HINDRAF didakwa di Ipoh

Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi ini atas tuduhan bersama menjadi penyokong pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu, HINDRAF, dua minggu lalu.

P Ramesh, 40; N Subramaniam, 42; S Sivagumar, 38; R Mogan, 43, J Vijayalingam, 49 dan S Jeyakumar, 48, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mereka didakwa dengan niat bersama menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu HINDRAF di Jalan Besar, Jelapang jam 9.30 pagi pada 13 Februari 2011.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau maksimum denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya, Ariff Firman Mohd Sidek memohon kepada mahkamah menetapkan RM4,000 sebagai ikat jamin bagi setiap tertuduh tetapi pihak peguambela meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM500 sahaja.

Peguam tertuduh, Amani William Hunt juga memberi alasan semua tertuduh tinggal di Ipoh dan berpendapatan sederhana dengan ada di kalangan mereka bekerja sebagai peniaga kecil, guru swasta dan pekerja kilang papan.

Katanya, permohonan itu juga munasabah kerana tiada berlaku kerosakan infrastruktur dan harta benda disebabkan tindakan anak guamnya selain mereka juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Terdahulu, dalam hujahnya, beliau berkata, pertuduhan yang dihadapkan atas anak guamnya sebagai cacat dengan memberi beberapa alasan termasuk ia tidak selaras dan seiring dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan iaitu yang mengatakan berhak menubuhkan persatuan serta HINDRAF bukan persatuan rahsia yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Majistret Intan Nurul Farena membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes itu akan disebut semula pada 4 April depan.

Pada 13 Februari lalu, Pengerusi HRP Perak, P Ramesh, 40; Timbalannya, N Subramaniam, 43, serta empat lagi anggota lain berhampiran Balai Polis Jelapang, kira-kira jam 10.15 pagi selepas bertindak agresif dan mencabar polis.

Mereka adalah ahli Parti Hak Asasi Manusia (HRP) – serpihan pertubuhan haram HINDRAF, yang mengadakan perhimpunan di beberapa negeri bagi membantah penggunaan novel Interlok di sekolah.

Polis turut mengesan beberapa pelajar, termasuk berusia 10 tahun, diperalatkan HRP dalam perhimpunan haram yang diadakan di ibu negara serta Rawang, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan dan Ipoh, Perak.

Komen & Pendapat

Leave a Reply