Perak Hari Ini

Hasrat Bahari miliki rumah baru tercapai dengan bantuan YBU

Hasrat Bahari Mohamed, 56, untuk mendiami rumah yang selesa bersama keluarga tercinta akhirnya tercapai apabila Yayasan Bina Upaya (YBU) meluluskan peruntukan RM35,000 bagi membina rumah baru yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau begitu gembira dan bersyukur di atas pembinaan rumah itu yang bakal menggantikan rumah lama yang dibina dengan kos tidak seberapa.

Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, yang melawat kerja pembinaan rumah Bahari di Batu 85, Jalan Sungai Dendang baru-baru ini, berkata rumah baru Bahari itu dibina sejak dua minggu lalu dan setakat ini, beliau cukup berpuas hati dengan kerja pembinaan yang dilaksanakan kontraktor tempatan.

Katanya, sebuah rumah bantuan YBU yang dinaiktaraf membabitkan kos RM15,000 juga sedang dalam pembinaan di Bagan Baharu manakala sebuah lagi rumah baru di Kampung Tebing Tinggi akan dibina dalam masa terdekat.

“Dengan bantuan rumah baru ini, kita harap Bahari sekeluarga dapat tinggal dengan keadaan yang lebih selesa.

“Ketiga-tiga projek itu adalah projek YBU yang sedang dan akan dilaksanakan di DUN Kubu Gajah dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Raja Ahmad Zainuddin menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai agar berwaspada kerana cuaca yang tidak menentu ketika ini dan segera menghubungi pihak berkaitan jika berlaku banjir.

Selain itu, beliau turut meminta ketua kampung dan ahli JKKK supaya memantau keadaan anak buah yang berhadapan ancaman banjir.

“Jabatan Pengairan Air dan Saliran (JPS) negeri akan melaksanakan projek mengatasi banjir di Kampung Kota Raja Bersiong, dekat Redang Panjang dengan kos tidak kurang daripada RM 30,000,” katanya selepas melawat tebing sungai yang sering diancam banjir di kampung berkenaan.

Hadir sama, jurutera JPS Daerah Larut, Matang dan Selama, Mokhtar Hasran.

Beliau turut berkesempatan melawat rumah Salmah Osman, 52, salah seorang penduduk kampung yang berhadapan ancaman banjir apabila berlaku hujan lebat.

“Penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai perlu berhati-hati kerana ketika ini cuaca tidak menentu dan saya minta ketua kampung dan ahli JKKK yang dilantik agar dapat memantau keadaan anak buah mereka yang diancam masalah banjir,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");