Isu Panas

Kemenangan Berganda Perlihatkan Rakyat Pilih BN – Rais Yatim

Kemenangan berganda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau memperlihatkan BN mendapat tempat di hati pengundi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kemenangan berganda itu adalah petunjuk reaksi rakyat terhadap usaha dan perjuangan kerajaan BN.

“Saya merasakan lebih dari bergembira dalam erti kata perjuangan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) (untuk membangunkan negara) serta sumbangsih penglibatan rakyat di Merlimau dan Kerdau.

“Walaupun masih ada ruang bagi kita untuk menganalisis beberapa segmen pengundi namun gagasan 1Malaysia dilihat mendapat tempat di hati pemilik dan pengundi,” katanya ketika ditemui semasa majlis perasmian penutupan Pesta Pantun Bestari 2011 di Universiti Malaya (UM) di sini Ahad malam.

Beliau berkata namun BN tidak boleh sekadar berpuas hati dan kerja keras perlu dilakukan bagi menunaikan janji dan memenuhi komitmen kerajaan kepada rakyat.

Ditanya kemungkinan pilihan raya umum bakal diadakan lebih awal, beliau berkata:

“Itu hanya boleh dijawab oleh Perdana Menteri.”

“Kita tidak boleh mengambil kira keputusan di Merlimau dan Kerdau sebagai muktamad oleh kerana kerja-kerja (jentera BN) di Sarawak dan Sabah dan kerja-kerja di beberapa negeri lain seperti di Selangor hendaklah dikemaskinikan.

“Bak kata orang kilat di langit tidak nampak jadi kita perlu jalankan tugas supaya isyarat itu berkekalan,” katanya.

BN mengekalkan kerusi DUN Kerdau dan DUN Merlimau dengan majoriti lebih besar, meneruskan trend kemenangan parti itu dalam lima pilihan raya kecil setakat ini.

Calon BN pada kedua-dua pilihan raya kecil itu mengalahkan calon PAS masing-masing memperoleh majoriti 3,643 undi di Merlimau dan 2,724 undi di Kerdau.

Dengan kemenangan ini, BN telah memenangi lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 2008. Tiga lagi kemenangannya ialah di Bagan Pinang, Batang Ai dan Hulu Selangor.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");