Berita Hari Ini

Kemenangan Berterusan Pilihan Raya Kecil Memberikan Perangsang Kepada BN Sarawak

Kemenangan berterusan Barisan Nasional (BN) pada lima pilihan raya kecil di Semenanjung setakat Ahad lepas, menjadi perangsang untuk BN Sarawak mengadakan pilihan raya negeri lebih awal dari tamat tempoh penggal Julai ini, tetapi ada beberapa perhatian mengenai beberapa kerusi.

“Kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu sudah pasti membawa faktor mood yang baik untuk kita. Kemenangan itu menjadi motivasi kepada jentera parti di sini untuk bekerja keras bagi mencapai kemenangan sama atau keputusan yang lebih baik.

“Kita harap untuk meneruskan trend ini (kemenangan berterusan) dan kita lakukan yang terbaik malahan walaupun kita memberikan perhatian mengenai kerusi-kerusi tertentu,” kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.

BN mengekalkan kedua-dua kerusi negeri Kerdau (Pahang) dan Merlimau (Melaka) dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya kecil yang diadakan serentak pada Ahad lepas, seperti yang telah dimenangi pada kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas (Kelantan) serta kerusi DUN Tenang (Johor) sebelum ini.

Kemenangan berterusan ini nampaknya penyokong BN memberikan kepercayaan kepada parti campuran itu untuk mengembalikan semula sokongan di kalangan rakyat berikutan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008, yang mengakibatkan kehilangan empat negeri dan majoriti dua pertiga di parlimen.

Dengan kemenangan pada Ahad lepas, BN telah memenangi lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum pada 2008. Tiga lagi kemenangannya ialah di Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Batang Ai (Sarawak) dan Hulu Selangor (Selangor).

Ada spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin mengadakan pilihan raya umum lebih awal, yang hanya tamat tempoh penggal sehingga 2013, yakin dengan keputusan baik BN berikutan kemenangan berterusan pilihan raya kecil dan jika BN Sarawak memberikan keputusan yang baik juga pada pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Awang Tengah berkata BN Sarawak yakin untuk mengekalkan majoriti dua pertiga bagi 71 kerusi DUN, ada kebimbangan mengenai sokongan pengundi di kawasan bandar, kebanyakan kerusi itu ditandingi Parti Bersatu Rakyat Sarawak(SUPP).

Bagaimanapun beliau berkata, semua parti komponen BN bersetuju membantu SUPP mengatasi cabaran yang dihadapi di kerusi kawasan bandar.

Penganalisis politik di Sarawak berkata kekalahan BN pada pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei tahun lepas, yang pertama diadakan di kawasan bandar di Sarawak selepas pilihan raya umum 2008, membayangkan pendirian pengundi bandar tidak berubah sejak 2006.

“Pengundi bandar akan kekal menjadi satu isu untuk BN di Sarawak walaupun kita tidak menjangkakan sebarang masalah di kebanyakan kerusi kawasan luar bandar,” kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir.

Sesetengah pemerhati politik percaya tsunami politik sebenarnya bermula pada pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 tetapi penganalisis politik yang ditemuramah berkata keadaan adalah berbeza di Sabah dan Sarawak yang kekal sebagai “simpanan tetap” bagi BN.

Dengan peningkatan sokongan Melayu antara lima dan enam peratus dan pertambahan sedikit bagi pengundi bukan Melayu pada pilihan raya kecil, adakah BN akan memperoleh sokongan yang sama di kawasan pilihan raya bandar di Sarawak?

Penganalisis politik yang berkhidmat dengan University College Sedaya International (UCSI), Ong Kian Ming, berkata pilihan raya kecil Kerdau dan Merlimau membabitkan isu-isu yang berlainan, dan ini bukan kawasan pilihan raya bandar.

“Bukan satu trend nasional di Sarawak. Apa yang berlaku di Semenanjung tidak semestinya berlaku di Sarawak. Di Sarawak, personaliti tertentu merupakan faktor lebih besar. Isu-isu tanah atau lebih spesifik isu-isu tempatan akan memainkan peranannya,” kata beliau.

Seorang penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata tidak ada isu-isu tempatan di Kerdau dan Merlimau berbanding Sarawak di mana terdapat beberapa isu tempatan yang beliau rasakan boleh menjejaskan tahap sokongan untuk BN.

“Keputusan dua pilihan raya kecil menunjukkan kaum Cina telah sedikit kembali semula kepada BN. Malahan, tidak ada isu-isu tempatan dan sebab itu BN menang dengan mejoriti lebih tinggi. Bagaimanapun, kawasan bandar Sarawak adalah sangat berbeza kerana banyak isu-isu tempatan,” kata beliau.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan berkata peluang lebih baik untuk BN mendapatkan semula sesetengah kerusi bandar yang tewas selagi ada banyak usaha bagi membalas balik dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan pembangkang.

“Kemenangan BN pada dua pilihan raya kecil menunjukkan bagaimana usaha-usaha dan tenaga hendak ditumpukan untuk membalas balik dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan pembangkang. Kita tidak boleh bersifat budiman dengan mereka pada masa ini.

“Jika mereka ke media, kita juga ke media. Jika mereka ke Facebook, kita juga ke Facebook untuk mengemukakan berita kita agar rakyat boleh membuat perbandingan,” kata beliau.

Beliau juga berkata SUPP telah menyediakan satu strategi baru yang akan diumumkan pada pilihan raya negeri untuk membalas balik semua propaganda pembangkang.

SUPP mengalami peristiwa terburuk di kalangan parti komponen BN pada pilihan raya negeri 2006, tewas lapan daripada 19 kerusi yang ditandingi BN.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");