Isu Panas

Kemenangan BN Bukti Rakyat Memberi Mandat – Ali Rustam

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau membuktikan rakyat memberi mandat penuh kepada kerajaan BN untuk meneruskan usaha membangun dan membela nasib mereka.

Beliau berkata BN tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum 2008, sebaliknya perlu terus bekerja keras memenuhi keperluan rakyat.

“Terima kasih kepada pengundi yang sokong kita, terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa menyokong kita di sini, kemenangan ini daripada sokongan semua kaum, menunjukkan program 1Malaysia kita mempunyai kesan yang amat positif,” katanya.

Mohd Ali yang juga Pengarah PRK DUN Merlimau, berkata walaupun kemenangan itu sudah dijangka, namun beliau agak risau jika rakyat memberikan majoriti undi yang lebih rendah berbanding pada pilihan raya umum lepas, dan kemenangan tersebut memberi petunjuk baik kepada BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Bagi YB Roslan yang baru dipilih ini, saya nasihatkan kepada beliau agar menunaikan hasrat BN bagi memajukan rakyat di kawasan ini, dan saya mahu beliau sentiasa turun padang meninjau masalah rakyat, sekiranya ini dilakukan, kita akan berjaya pada masa akan datang,” katanya.

BN mengekalkan kerusi DUN Merlimau apabila calonnya, Roslan Ahmad mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Roslan memperoleh 5,962 undi manakala Yuhaizad mendapat 2,319 undi.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata kemenangan calon BN itu merupakan manifestasi kembalinya kegemilangan parti serta peningkatan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya sama ada kemenangan ini menjadi kayu pengukur bagi Pilihan Raya Umum ke-13, beliau berkata apa yang jelas, program transformasi kerajaan serta jentera pilihan raya semakin mantap dan lebih selaras berbanding semasa beberapa PRK yang lalu.

“Kemenangan ini memperlihatkan keseimbangan dalam kemenangan yang pembangkang dakwa kita telah hilang pengaruh. Jelas rakyat terima hakikat dan tolak dakyah, pembohongan dan fitnah yang dibawa pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohamad Yusoff berkata kemenangan Roslan membuktikan sokongan kuat pengundi muda kepada BN.

“Kita dapat lihat undi bagi saluran tiga dan empat yang mewakili golongan muda semakin tinggi, ini menunjukkan kesedaran mereka terhadap sumbangan kerajaan dalam memberi kehidupan selesa kepada rakyat,” katanya.

Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M.Kayveas berkata beliau yakin Roslan mampu bekerja keras bagi membela nasib dan menunaikan janjinya kepada kaum India di Melimau.

“Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam pun rapat dengan kaum India di sini, saya juga percaya dengan gandingan beliau dan saudara Roslan ini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi kaum India di kawasan ini,” katanya.

Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo pula berkata kemenangan itu menunjukkan pengundi Cina masih menyokong BN bagi terus membela nasib masyarakat Cina di Merlimau.

Pengerusi MIC Melaka Datuk R.Perumal mengucapkan tahniah kepada Roslan dan yakin berdasarkan pengalaman serta latar belakangnya, beliau mampu membawa Merlimau ke era baru, selain menjalankan tugas dengan baik.

Anggota Parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah berkata beliau percaya Roslan mampu bekerja keras bagi membangunkan daerah Jasin dan Merlimau.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berterima kasih kepada semua penyokong parti yang bertanding kerana memberikan kerjasama yang amat baik kepada

SPR dan memastikan pilihan raya itu bebas daripada sebarang insiden tidak diingini.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");