Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Perak Disaran Wujudkan Pusat Media

Kerajaan Perak disaran mewujudkan sebuah pusat media bagi memudahkan penyaluran dan penyebaran pelbagai maklumat kepada umum.

Penasihat Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata dengan menempatkan semua media cetak, media elektronik dan media baru di satu tempat, ia akan memberikan lebih kelebihan kepada penyebaran maklumat.

“Cadangan ini bukanlah berniat mengawal kebebasan media tetapi jika dilihat daripada sudut positif akan memberikan lebih ruang kepada pengamal media menjalankan tugas seharian,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata masyarakat awam akan lebih mudah mendapatkan khidmat nasihat, menghubungi serta berjumpa pengamal media bagi menyampaikan maklumat untuk sebaran.

Katanya pusat media itu juga dapat meringankan tugasan pengamal media yang terpaksa bergerak dari satu tempat ke tempat lain bagi menghadiri sidang media.

Raja Ahmad Zainuddin berkata bagi kes-kes tertentu, sidang media boleh diadakan di pusat media berkenaan dan ia akan menjimatkan masa petugas media.

“Kita sedar selama ini, ada di kalangan mereka (pengamal media) yang tidak dapat menghadiri jemputan peribadi disebabkan beban tugas yang mengganggu di saat akhir,” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin, yang juga bekas wartawan, berkata berdasarkan pengalaman dan pemerhatianya, pusat media boleh merapatkan perhubungan dan silaturrahim di kalangan pengamal media di Perak.

Pusat media itu juga boleh menjadi pusat sehenti bagi pengamal media dari luar yang ditugaskan di Perak.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");