Perak Hari Ini

Kerajaan Perak jumpa MMC-Gamuda JV bincang projek landasan keretapi berkembar

Kerajaan Perak akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor utama projek landasan keretapi elekterik berkembar Ipoh-Padang Besar, MMC-Gamuda JV Sdn Bhd bagi membincangkan beberapa masalah yang timbul seperti pengambilan tanah, penempatan semula serta bayaran pampasan membabitkan kawasan di sepanjang laluan negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pertemuan antara kedua-dua belah pihak itu sangat penting kerana kerajaan negeri tidak mahu masalah yang timbul menjadi punca projek lewat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Kerajaan negeri yang diwakili  Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim akan mengadakan pertemuan bersama pihak MMC-Gamuda JV bagi membincangkan masalah yang dihadapi rakyat di sepanjang laluan dari Ipoh ke utara Perak seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat mingguan exco hari ini.

“Kita mahu setiap masalah yang dibangkitkan penduduk berhubung projek ini dapat diselesaikan secara baik oleh pihak kontraktor agar pembinaan landasan yang menghubungkan Ipoh-Padang Besar ini dapat disiapkan tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Tasik Raban Resort, dekat Lenggong.

Mengulas kejadian banjir di Kerian, Dr Zambry berkata, ketika ini seramai 280 mangsa banjir ditempatkan di tiga pusat pemindahan sejak Isnin lalu.

Setiap keluarga katanya, menerima bantuan RM300 daripada kerajaan negeri yang diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Jelasnya, kejadian banjir di sekitar Bukit Merah dan Alor Pongsu disebabkan oleh taburan hujan yang tinggi dan agak luar biasa sedikit kerana berlaku pada penghujung Mac.

“Pada tahun sebelum ini, kejadian banjir di kawasan itu berlaku pada bulan Disember hingga Januari dan kita terpaksa melepaskan air dari Empangan Bukit Merah apabila ia mencapai paras kritikal akibat hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pantas agensi bertanggungjawab dalam membantu mangsa banjir di kawasan itu menyebabkan penduduk kampung dapat segera dipindahkan dan menerima bantuan yang sewajarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");