Perak Hari Ini

Lima suspek didakwa menipu

MOHD. Shukri Dahalan menunjukkan kepala surat dan dokumen mengenai kes penipuan dalam pembelian tanah pada sidang akhbar di Ipoh, Perak, semalam. - Utusan/Roy Azis Abd Aziz

Seorang pesara pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) adalah antara lima suspek yang ditahan kerana terlibat dalam kes penipuan pembelian tanah seluas 9.7 hektar di Bidor dengan menyamar sebagai pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), baru-baru ini

Selain pesara itu, empat lagi yang ditahan adalah dua bekas kakitangan dan seorang pembantu am di PTG Ipoh serta seorang broker tanah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, kesemua mereka berusia antara 28 hingga 56 tahun ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang peniaga besi buruk yang terpedaya dengan penyamaran kumpulan itu.

Menurutnya, suspek menyamar sebagai pegawai di PTG dan menawarkan bantuan memohon tanah di negeri itu kepada peniaga tersebut.

Katanya, suspek kemudian meyakinkan mangsa bahawa permohonan untuk tanah yang dimohon telah diluluskan dengan menyerahkan beberapa dokumen kelulusan daripada PTG.

“Penipuan itu terbongkar apabila mangsa membuat semakan di PTG dan mendapati tiada permohonan tanah diluluskan di bawah namanya manakala dokumen-dokumen yang diserahkan suspek adalah palsu.

“Ekoran itu, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM24,000 telah membuat laporan polis dan kesemua suspek berjaya ditangkap di sekitar Ipoh dan Tapah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, semasa tangkapan tersebut, polis merampas sembilan cop PTG palsu, 45 keping kepala surat PTG, 20 helai dokumen PTG palsu dan 13 resit rasmi bayaran premium PTG palsu.

Selain itu katanya, turut dirampas 4 keping salinan pelan tanah dan sebuah komputer riba yang disyaki digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu tersebut.

“Siasatan mendapati kumpulan tersebut telah memalsukan surat kelulusan permohonan tanah dengan menggunakan kepala surat PTG Ipoh serta meniru tandatangan pegawai yang berkuasa meluluskan permohonan.

“Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil semakan polis mendapati tiada rekod kesalahan lama membabitkan mereka,” katanya.

Menurutnya, pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa-mangsa atau suspek lain yang terlibat dalam kes penipuan itu.

Mohd. Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya tampil membuat laporan polis sekiranya terdapat keraguan berhubung transaksi pembelian tanah dan memeriksa di PTG mengenai kesahihan sesuatu dokumen pembelian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang memburu seorang wanita dan seorang lelaki yang dikenal pasti terlibat dalam penipuan membabitkan penggunaan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

“Kita telah mengenal pasti kedua-dua suspek yang terlibat dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad membuat dua laporan polis selepas menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar dan mempunyai tanda tangannya berhubung kelulusan tanah pertanian di dua lokasi oleh kerajaan negeri.

Surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering manakala surat kedua dengan menggunakan modus operandi sama membabitkan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");