Perak Hari Ini

Minta ADUN cadangkan nama

Apakah matlamat penubuhan dan peranan Skuad IBU?

Jodh: Skuad IBU ini diilhamkan oleh Menteri Besar (MB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk membantu kumpulan sasaran seperti miskin tegar, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, anak yatim, anak angkat, ibu tunggal dan golongan keterbawahan. Golongan inilah yang perlu dibantu supaya mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan negeri dari sudut ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat di negeri ini. YBDR merekrut Skuad IBU ini yang hadir dari setiap daerah untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas serta mengenal pasti golongan sasaran ini yang dilihat perlu dibantu sama ada dalam bentuk pendidikan, kebajikan atau pinjaman mikro kredit.

Apakah kriteria yang ditetapkan untuk menjadi Skuad IBU ini?

Jodh: Kita tidak menetapkan sebarang kriteria untuk menjadi skuad ini tetapi biarlah mereka yang betul-betul ikhlas, prihatin, bertanggungjawab serta sentiasa bersedia bagi membantu masyarakat di kawasan masing-masing. Kita mengambil semua peringkat umur untuk terus membantu golongan sasaran.

Pihak kami akan hantar surat kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mencadangkan nama-nama yang ingin menjadi skuad yang boleh menolong golongan sasaran itu. Selain itu, setiap kali adanya program MB turun padang, kita menyediakan sebuah gerai (booth) bagi memudahkan masyarakat untuk mendaftar sebagai ahli skuad. Selain itu, mereka boleh melayari laman sesawang di www.yayasanbinaupaya.com.my.

Berapa ramai ahli Skuad IBU dan adakah ia tertumpu kepada satu-satu kawasan sahaja?

Jodh: Sehingga kini kami mempunyai 1,100 ahli dari setiap daerah. Namun, kami mengenal pasti 100 sukarelawan iaitu 10 orang dari setiap daerah yang aktif bagi mengetuai skuad di daerah masing-masing. Sukarelawan ini dilatih dengan pelbagai tugas selaras dengan matlamat YBUDR. Namun, tugas ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kerja amal, sukan dan mengembara.

Setiap ahli perlu menguasai semua aspek ini bagi memantapkan lagi Skuad IBU selain menjana modal insan. YBUDR juga akan memperkenalkan satu kad pengenalan (ID) baru kepada ahli skuad yang mendaftar. Malah, 100 ahli skuad menjadi kumpulan pertama menerima ID baru ini bermula 1 April ini. Manakala yang selebihnya, mereka perlu menjalani latihan dan kursus motivasi sebelum diberikan ID ini. Kelebihan ID ini memudahkan mereka berurusan dengan agensi kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Apakah perbezaan antara Skuad IBU dengan sukarelawan dari agensi lain?

Jodh: Sudah tentu Skuad IBU ini berlainan dengan agensi lain apabila kita membantu masyarakat untuk mendapatkan pinjaman mikro kredit bagi memulakan sesuatu perniagaan. Inilah kelainan kami untuk terus membantu rakyat yang ingin memulakan perniagaan bagi mengubah nasib. Malah, skuad kami bukan sahaja menyumbang dari segi tenaga, tetapi membantu mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan menggunakan saluran yang ada. Skuad di setiap daerah akan pantau atau mencari golongan sasaran ini untuk menerima bantuan kepada mereka yang layak. Semua aktiviti ini adalah misi MB untuk membantu masyarakat dalam mencapai sifar kemiskinan di negeri ini.

Adakah setiap ahli skuad menerima elaun khas?

Jodh: Sukarelawan ini tidak menerima apa-apa elaun berbentuk kewangan tetapi setiap program yang dijalankan mereka hanya menerima elaun makanan. Malah kenderaan disediakan bagi melaksanakan program di sesuatu kawasan. Penyertaan Skuad IBU ini adalah bersandarkan kepada tanggungjawab untuk membantu masyarakat di kawasan mereka dengan penuh keprihatinan dan keikhlasan.

Setakat ini, bagaimana pencapaian Skuad IBU kepada masyarakat?

Jodh: Biasanya, penduduk pendalaman kurang pengetahuan terhadap kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Peranan skuad inilah yang membantu memperkenalkan bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh agensi kerajaan, pinjaman mikro kredit YBUDR dan sebagainya.

Terbaru, di mana seorang Orang Asli berjaya membuka sebuah kedai runcit di Ulu Kuang, Chemor dengan bimbingan dari pihak kami. Kami juga merancang untuk mengadakan ‘show cabinet’ di pintu masuk pejabat YBUDR dengan meletakkan produk-produk yang diusahakan oleh mereka yang telah berjaya dalam perniagaan. Ia sebagai satu usaha memperkenalkan produk mereka kepada pelanggan kami. Malah, skuad kami juga mengambil bahagian dalam program Mydaftar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Apakah pula kaitan Skuad IBU dengan portfolio hubungan antarabangsa anda?

Jodh: Kita juga mengadakan kerjasama dengan agensi luar negara untuk membantu terutama dari segi kebajikan terhadap rakyat khususnya di Perak ini. Malah kita masih dalam fasa awal untuk membina sebuah cawangan K Canada iaitu sebuah agensi kebajikan pertama di Perak dan negara kita. Perancangan ini meluaskan perkongsian idea selain mengaplikasikan idea yang bersesuaian berkaitan pendidikan, kemahiran terutama kepada anak-anak angkat Kerajaan Negeri.

Selain itu, berita baik kepada pelajar miskin yang ingin melanjutkan pelajaran. Premier International University Perak melalui YBU akan memberikan diskaun 50 peratus kepada pelajar yang layak bagi mengikuti dua program asas dan dua program ijazah untuk tahun pertama untuk pengambilan pertama April ini.

Antara jurusan yang ditawarkan ialah perniagaan dan teknologi maklumat manakala, jurusan sains komputer dan pengurusan perniagaan mendapat diskaun pada tahun pertama sahaja. Ini salah satu usaha YBU dan kerajaan bagi memastikan pelajar di negeri ini menerima pendidikan sempurna.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");