Kolumnis

MUKMINKAH NIK AZIZ? (BHG 2)

Penulis: Kelembai Bukit Untuk Perak Today

Terlalu ramai sebenarnya yang melihat Nik Abdul Aziz sebagai ikon Islam di negara ini yang perlu menjadi contoh dan teladan. Dan kerana ketaksuban itulah, maka segala kata-kata yang dilontarkan oleh Nik Abdul Aziz diterima bulat-bulat tanpa sebarang tapisan dan tanpa sebarang pengecualian.

Benarkah pertolongan syaitan boleh diterima bagi memudahkan kita memenangi sebarang pertempuran, perlawanan mahupun pertandingan?

Mungkin bagi sesetengah orang, perkara ini dianggap sebagai perkara remeh yang tidak akan membawa kita ke mana-mana apabila membincangkannya. Namun bagi golongan yang mentaati perintah Allah Taala dan menjauhi larangan-Nya, pastilah kata-kata itu mempunyai signifikan yang sangat besar dan pengaruh yang bukan sedikit dalam menilai ikon yang sangat ditaksubkan oleh sebahagian umat Melayu di negara ini.

Allah Taala tidak akan meriwayatkan kisah yang pernah dialami oleh datuk kita, Nabi Adam a.s. melainkan agar kita dapat memperolehi gambaran atau suri teladan dan cermin yang hidup untuk menempuh jalan yang seharusnya dilalui oleh setiap manusia. Manusia bukanlah sejenis makhluk yang diciptakan penuh kesucian dan tidak sedikit pun ada kekurangannya. Manusia juga bukanlah malaikat, tetapi manusia diciptakan sebagai makhluk yang mempunyai persiapan untuk menerima kebaikan dan keburukan. Manusia dapat melakukan hal-hal yang berpahala atau berdosa, salah atau benar, bagus atau hina, taat atau maksiat, ketaqwaan mahupun kedurhakaan, suka berbakti atau gemar membuat kecurangan.

Ini jelas dalam firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan jiwa serta apa yang disempurnakannya, maka diilhamkan-Nya kepadanya yang salah dan yang taqwa (benar).” (Asy-Syams: 7-8)

Manusia itu sesuai dengan kedudukan yang dikurniakan oleh Allah Taala sebagai khalifah (pengganti) Allah Taala di bumi, maka dia diharuskan untuk mengembangkan makna-makna kebaikan, kebenaran, kebagusan, ketaatan dan ketaqwaan dalam jiwanya, sementara itu haruslah pula melawan segigih-gigihnya makna-makna kedosaan, kekeliruan, kekejian dan kedurhakaan sehingga dengan melakukan dua macam hal di atas, manusia akan dapat mencapai kesempurnaan rohaniah yang dikehendaki oleh Allah Taala untuk dirinya.

Dalam mengadakan perjuangan yang sedemikian itu, syaitan akan merayap dalam tubuh manusia dengan tujuan utamanya:

  1. Dari suatu sudut dia hendak menyelewengkan manusia daripada semangat memperkembangkan sesuatu yang luhur dan hasrat yang mulia kepada jiwanya.
  2. Dari sudut yang lain, syaitan itu berusaha keras dengan sekuat-kuat tenaganya hendak melemahkan roh dan semangat kebaikan manusia tadi dengan jalan penipuan, rayuan halus dan pujukan serta menampakkan kesyahwatan dan kemaksiatan menjadi baik sehingga manusia itu tergelincir dari jalan yang benar dan diredhai oleh Allah Taala.

Maka disebabkan itu, sudah menjadi kewajipan manusia yang paling utama supaya berhati-hati, jangan sampai terkena tipudaya syaitan yang durhaka dan untuk ini hendaklah dimaklumkan pula cara-cara yang dilakukan oleh syaitan apabila hendak menyelewengkan manusia serta membelokkannya daripada tugas utamanya dalam kehidupan di dunia ini.

Sekali waktu, apabila kakinya dirasakan sudah tergelincir atau hatinya sudah terjerumus dalam suatu perbuatan dosa atau berasa menyisihkan diri daripada hal-hal yang nyata benar atau kerceimpung dalam suatu kesalahan atau melakukan kemaksiatan serta membuat kedurhakaan, maka hendaklah dia segera ingat apa yang pernah terjadi kepada Nabi Adam a.s. Di hadapannya haruslah dapat dilukiskan suatu jalan sebagaimana yang pernah ditempuh oleh baginda dengan melakukan taubat dan secepat mungkin memulakan kehidupan yang lebih suci dan bersih.

Dengan mengikuti sebagaimana yang dihuraikan, maka manusia itu akan terlepaslah daripada kekuasaan, cengkaman serta kongkongan syaitan laknatullah.

Maka berdasarkan daripada penjelasan demi penjelasan yang diberikan, wajarkah Nik Abdul Aziz menjadi ikon yang bersesuaian sedangkan mulutnya sudah pun terlepas bicara tentang sesuatu yang diperingatkan Allah Taala kepada kita agar dijauhi dengan seboleh-boleh mungkin?

Kalau Nabi Adam a.s dan isteri baginda, Siti Hawa diturunkan ke bumi sebagai ‘hukuman’ kerana melanggar perintah Allah Taala dengan mendengar nasihat daripada syaitan, bagaimana pula hukuman yang bakal menanti Nik Abdul Aziz kerana sanggup menerima bantuan daripada syaitan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional dalam usaha untuk memenangi pilihanraya.

Tiada sebarang Islamnya Nik Abdul Aziz dalam kempen politiknya, kecuali serban dan jubahnya. Terlalu banyak salahnya dia apabila dia cuba memasukkan unsur-unsur Islam dalam kempennya. Sekalipun dia kelihatan menentang benar pensekularan atau pengasingan Islam dan politik, dia sendiri telah mensekularkan ajaran Islam dengan kemahuan syahwatnya.

Anehnya, para pentaksub dan pengikutnya, tidak sekali-kali berusaha untuk meluruskan Nik Abdul Aziz, sebaliknya menjadikan kata-kata Nik Abdul Aziz sebagai bahan untuk mereka berkempen. Mereka tercari-cari dalil dan nas untuk membenarkan kata-kata Nik Abdul Aziz sekalipun mereka mungkin sedar bahawa kata-kata itu menyalahi ajaran Islam.

Seharusnya kita kembali semula kepada kitab Allah Taala dan ajaran rasul-Nya apabila kita diingatkan tentang kesalahan yang telah dilakukan. Tidak perlulah kita menyombongkan diri dan berusaha untuk membuktikan yang kita tidak bersalah, kerana itulah yang berlaku kepada Iblis laknatullah. Dia dilaknat bukan kerana kesalahannya tetapi kerana kesombongannya dan kedegilannya untuk menerima perintah Allah Taala yang dianggapnya sebagai tidak betul.

Semoga kita semua mendapat petunjuk yang sangat jelas dalam hal ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");