Perak Hari Ini

Nasib Adun Titi Serong dan Adun Temenggor bakal diketahui pada penghujung Mac atau awal April ini – Speaker DUN

Nasib Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah dan Adun Temenggor, Datuk Hasbullah Osman yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak hanya akan diketahui apabila dewan bersidang semula pada penghujung Mac atau awal April depan.

Pengerusi jawatankuasa yang juga Speaker DUN, Datuk R Ganesan, berkata keputusan jawatankuasa itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak ke-12 sebelum dibahas dan dibuat undian dalam dewan sebelum tindakan diambil terhadap kedua-dua wakil rakyat terbabit.

Katanya, walaupun wakil rakyat PAS itu tidak hadir memberi keterangan hari ini, pihaknya sudah membuat keputusan selepas meneliti secara mendalam isu yang dirujuk kepada jawatankuasa terbabit.

“Keputusan sudah diambil hari ini dan ia akan dilaporkan pada dewan yang akan bersidang tidak lama lagi mengikut mengikut Fasal 72 (2) Perintah-Perintah Tetap sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadap wakil rakyat berkenaan.

“Khalil Lim dirujuk kepada jawatankuasa ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2011 pada 2 Disember lalu apabila mengeluarkan kenyataan ada bomoh dibawa masuk ke dewan pada sidang Mei 2009,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bagi mendengar keterangan dan isu membabitkan kedua-dua wakil rakyat itu.

Selain Ganesan, jawatankuasa itu turut dianggotai Adun Bota; Datuk Nasaruddin Hashim, Adun Slim; Datuk Khusairi Talib; Adun Hulu Kinta; Datuk Rusnah Kasim manakala dua lagi ahli jawatankuasa iaitu Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow tidak hadir.

Hasbullah yang hadir memberi keterangan pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas mengeluarkan kenyataan ada exco Selangor menerima rasuah pada tarikh, masa dan tempat sama.

Sementara itu, Ganesan berkata, notis sudah dihantar kepada Khalil Lim dan Hasbullah untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan.

“Pada 2 Disember itu juga, selepas usul dirujuk pada jawatankuasa itu, Khalil Lim mengatakan beliau akan memberi keterangan kepada jawatankuasa itu berhubung kenyataannya tetapi saya hairan kenapa beliau tidak hadir hari ini,” katanya.

Adun Titi Serong, Khalil Lim ketika sesi perbahasan Bajet 2011 mengeluarkan tuduhan ada di kalangan adun tertentu membawa masuk bomoh ke dalam dewan persidangan pada Mei 2009.

Namun, wakil rakyat PAS itu gagal mengemukakan sebarang bukti apabila diminta berbuat demikian oleh Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Ini menyebabkan Adun Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid bangun dan membuat usul supaya Khalil Idham dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana melanggar peraturan mengikut Perintah Tetap 36 (3) (a) dan disokong oleh Adun Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Adun Temenggor pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas membuat tuduhan seorang exco di Selangor terbabit dengan gejala rasuah.

Beberapa wakil pihak pembangkang menggesa Hasbullah supaya menarik balik kenyataan itu tetapi beliau enggan lalu Adun Teja, Chang Lih Kang tampil membuat usul supaya wakil rakyat BN itu dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan dan disokong oleh Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");