Perak Hari Ini

Pakatan Rakyat tidak perlu berbohong sebagai alasan tidak mahu hadir sidang DUN

Pakatan Rakyat tidak perlu berbohong dengan mengatakan polis masih mengawal ketat sekitar dewan dan berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan sebagai alasan tidak mahu menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata alasan yang diberi oleh pihak pembangkang itu sudah terlalu biasa didengar dan masih juga digunakan mereka pada setiap kali sidang DUN mahu diadakan di Bangunan SUK.

“Ahli Parlimen Bukit Gantang yang merangkap Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membuat kenyataan media di Kuala Lumpur bahawa beliau berkemungkinan tidak hadir pada sidang DUN 5 April ini dengan alasan pihak polis masih lagi mengawal ketat sekitar dewan dan Bangunan SUK.

“Alasan ini sudah terlalu biasa kita dengar setiap kali sidang DUN mahu diadakan dan pihak pembangkang ini akan mencari alasan, hujah atau jalan untuk tidak hadir sidang,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Dr Zambry berkata, walaupun pihak pembangkang bersangka buruk dengan mengatakan sidang DUN 30 Nov lalu akan berlangsung hanya satu hari, jangkaan itu ternyata meleset sama sekali.

“Sangkaan buruk pembangkang itu meleset sama sekali kerana mereka juga akhirnya duduk bersidang sampai habis,” katanya.

Semalam, Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada kawalan polis.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diminta Pakatan Rakyat ekoran setiap kali berlangsungnya sidang DUN di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).

“Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami. Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan,” katanya.

Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas.

“Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April 2011.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");