Kolumnis

PAS SEMAKIN TENGGELAM PUNCA

Penulis: ANON00

Akhirnya PAS terpaksa menjilat ludah mereka semula apabila menganjurkan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa beberapa minggu lepas dalam usaha mereka untuk mendapatkan semula sokongan Melayu yang telah hilang. Sekaligus membuktikan bahawa TUAN BESAR PAS sebenarnya adalah DAP. Dan sudah tentulah konvensyen tersebut adalah DAP.

Nik Abdul Aziz dan beberapa orang pemimpin PAS yang sangat sombong apabila membicarakan tentang Melayu, akhirnya akur bahawa undi Melayu sangat penting kepada survival parti tersebut dalam arus politik negara. Kesombongan PAS sebelum ini ternyata telah memakan diri mereka sendiri. Nik Abdul Aziz sendiri terpaksa berbicara tentang Melayu, bertentangan dengan kata-katanya sebelum ini bahawa Melayu tidak penting sama sekali.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula terpaksa menutup malu dengan mengatakan perjuangan Melayu lebih bermakna dengan perjuangan Islam. Dan yang paling menarik ialah apabila beberapa orang pemimpin Cina yang sangat anti dengan Melayu tetapi berusaha berpura-pura menunjuk baik seperti Lim Guan Eng, cuba mengajar Melayu tentang nilai-nilai Islam.

Tiada apa-apa yang menarik tentang Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa melainkan ianya hanyalah salah satu cara untuk PAS kembali mendapatkan undi Melayu. PAS cuba memberikan jaminan bahawa sekalipun mereka adalah HAMBA TEBUSAN kepada DAP, namun mereka juga mampu menjaga Melayu.

Bagaimana caranya menjaga Melayu?

Dengan menjadi burung kakatua… dengan mengulang kembali janji-janji 100 hari Pakatan Rakyat. Dengan menggelembungkan angan-angan kosong yang kelihatan sangat indah tetapi hakikatnya tiada pengisian. Bentuk yang cuba dikatakan dan diyakinkan agar para pengikut PAS melihatnya sebagai cantik tetapi lompang dalam pengisian dan praktikaliti, cuba disembunyikan.

Itu janji 100 hari Pakatan Rakyat yang dijaja-jaja ke sana ke mari. Dan sekarang, PAS cuba meyakinkan orang Melayu bahawa janji 100 hari yang sudah tentu dalangnya adalah DAP, adalah sesuatu yang baik. Memandangkan orang Melayu majoritinya sudah dapat melihat keburukan dan temberang DAP dalam janji 100 hari Pakatan Rakyat, PAS telah ditugaskan untuk mendapatkan keyakinan orang Melayu menerusi pembohongan itu.

Hasilnya ialah apa yang kita dapat lihat dalam konvensyen berkenaan apabila Nik Abdul Aziz yang sebelum ini begitu bertegas tentang kebangsaan atau nasionalis yang disifatkannya sebagai sekular dan menentang Islam, terpaksa menjilat ludahnya sendiri.

Hanya dengan berbelit-belit kononnya PAS akan menjaga Melayu dan memberikan keutamaan kepada Melayu kerana Melayu adalah dominan di negara ini, tidak dapat menutup kata-kata Nik Abdul Aziz sebelum ini. Kalau benarlah seperti yang dikatakan oleh Nik Abdul Aziz, sekali lagi Nik Abdul Aziz menelan caci nistanya terhadap kebangsaan Melayu.

Apa bezanya memberikan keutamaan kepada Melayu kerana Melayu itu dominan dan Melayu itu kaum terdahulu yang berada di Tanah Melayu dengan Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO? Tajuk sahaja yang berbeza sedangkan isinya adalah sama.

Sememangnya sesuatu yang sangat menggelikan hati apabila PAS yang kononnya bencikan perkauman termasuklah terhadap kaum sendiri, secara tiba-tiba memberi jaminan dalam sebuah konvensyen yang kelihatan banyak cacat celanya untuk membela perkara yang dibencinya. Dan perkara itu begitu ketara apabila keputusan-keputusan pilihanraya kecil bermula daripada Bukit Gantang sehinggalah Tenang menunjukkan PAS kehilangan lebih banyak undi Melayu berbanding penambahan. Manek Urai dan Galas telah membuktikan kepada PAS bahawa PAS hilang kemasyhuran di kalangan undi Melayu.

Biarpun pada masa yang sama, tukang-tukang tiup propaganda cuba membuktikan bahawa PAS sedang mendapat sambutan daripada generasi pengundi muda, namun jauh daripada jangkaan dan dugaan PAS, prestasi yang ditunjukkan oleh Najib Abdul Razak dan UMNO khususnya, tidak seperti yang diharapkan. Apatah lagi dengan sikap para pemimpin PAS yang tidak ada pendirian, bebal, bodoh dan bahlol, terutama apabila berhadapan dengan DAP.

Bermula dengan perangai Nizar Jamaluddin yang bolehlah diibaratkan sebagai telunjuk mencucuk mata, sehinggalah perangai Khalid Samad di Selangor yang lebih DAP berbanding DAP sendiri, PAS perlu akui mereka kehilangan banyak sokongan orang Melayu yang marah kepada Abdullah Badawi pada 2008 dahulu.

PAS sudah hampir memperolehi sokongan kekal Melayu apabila cerita tentang Kerajaan Perpaduan yang dikatakan dicadangkan oleh Abdul Hadi Awang, mula heboh diperkatakan. Namun sokongan Melayu kepada PAS terus menurun apabila Nik Abdul Aziz menjahanamkan prospek tersebut dengan keangkuhan dan kesombongannya.

Hasilnya ialah Nizar Jamaluddin hampir kalah di Bukit Gantang kalau bukan undi swing Cina di Kuala Sepetang. Bahkan di Manek Urai pun, Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS terpaksa didatangkan untuk berkempen sekalipun dalam keadaan uzur apabila sokongan kepada PAS dilihat begitu pudar kerana perangai bebal Nik Abdul Aziz. Hasilnya, sekalipun menang, undi majoriti PAS berbanding Pilihanraya Umum Ke-12 pada Mac 2008, merosot teruk. Calon PAS hanya menang dengan 65 undi berbanding calon UMNO.

DAP sedar untuk menguasai Putrajaya, mereka perlukan undi majoriti Melayu. Berbanding PKR, PAS jauh lebih sempurna dan lebih lengkap. Apatah lagi PKR sendiri berada dalam kucar-kacir kerana ahli-ahli parti yang melompat-lompat bagaikan belalang pelesit mencari mangsa. Ditambah pula dengan kes perbicaraan yang sedang dihadapi oleh Anwar Ibrahim, menjadikan PKR sebagai sebuah parti lawak jenaka yang hanya berkisar tentang Anwar Ibrahim dan kekasihnya, Azmin Ali.

Dan kerana itulah PAS terpaksa menganjurkan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa yang konon-kononnya untuk menerangkan kepada orang Melayu bahawa PAS adalah pembela Melayu walaupun sebenarnya ialah PAS sebenarnya adalah budak bodoh DAP yang digunakan untuk menipu Melayu bagi memberi undi kepada Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");