Perak Hari Ini

PBT digesa laksana pencegahan atasi masalah pembuangan sampah haram- PAC Perak

Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak mengingatkan pihak berkuasa tempatan di negeri ini supaya mengambil langkah pencegahan bagi menangani masalah pembuangan sampah haram yang bukan sahaja menimbulkan isu pencemaran tetapi juga merugikan wang kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata jika masalah ini terus berlarutan, wang kerajaan tidak boleh digunakan secara lebih baik dan akhirnya akan merugikan rakyat itu sendiri.

Tegasnya, masalah itu boleh ditangani secara berkesan jika anggota penguatkuasa PBT mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertindak membuang sampah di tempat larangan.

“Semua PBT perlu memastikan masalah ini tidak dibangkitkan dalam laporan audit dengan melaksanakan langkah pencegahan termasuk menguatkuasakan undang-undang serta mencontohi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam menangani isu pembuangan sampah haram,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 14,000 tapak pembuangan sampah haram dilaporkan wujud di sekitar bandar raya Ipoh pada 2006 tetapi jumlah itu menurun kepada hanya 352 tapak sahaja sehingga Februari lalu.

Malah, MBI juga katanya, mahu mencapai sasaran sifar pembuangan sampah haram di sekitar bandar raya menjelang ulangtahunnya pada 27 Mei ini.

Dalam perkembangan berkaitan, masalah tapak pelupusan sampah di Bercham dijangka selesai apabila tapak baru seluas 91.6 hektar dikenalpasti di Lahat untuk dibangunkan dalam masa terdekat ini.

Ujar Raja Ahmad Zainuddin, projek yang menggunakan teknologi tinggi dan menelan kos RM200 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada awal 2013.

“Satu projek tapak pelupusan sampah yang besar akan dibangunkan oleh kontraktor dilantik MBI, iaitu membabitkan kawasan seluas 91.6 hektar di Lahat dan ia antara lain dibangunkan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah haram yang dihadapi pihak berkuasa tempatan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAC katanya, akan memanggil semula Ketua Jabatan, Bahagian Pinjaman Kewangan Negeri berhubung kegagalan pihak itu menuntut kembali tunggakan pinjaman pelajaran yang bernilai lebih RM20 juta.

Katanya, maklumat yang diberikan sebelum ini didapati tidak memuaskan serta tersusun dan pegawai terbabit akan dipanggil semula untuk memberi penjelasan kepada PAC.

“Pegawai berkenaan akan dipanggil semula untuk memberi penjelasan pada minggu depan sebelum PAC boleh membuat teguran kepada bahagian itu,” kata beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");