Perak Hari Ini

PEKA sedia peluang pekerjaan kepada rakyat Perak: Aminuddin

PERAK Amanjaya merupakan satu wawasan untuk mencapai inspirasi membawa keamanan dan kejayaan kepada negeri Perak yang menjanjikan peluang, pendapatan dan kehidupan berkualiti kepada rakyat.

Ia meliputi segenap lapisan masyarakat khususnya golongan pekerja, peniaga, usahawan, pelabur, petani, nelayan, penjawat awam dan semua yang menetap atau berurusan di negeri Perak.

Selain itu, ia juga satu inisiatif menggerakkan semua jentera penggerak sosio-ekonomi negeri menuju arah yang sama iaitu membawa keamanan, kejayaan serta mengembalikan kegemilangan Perak.

Tujuh bidang keberhasilan utama digariskan di bawah pelan Perak Amanjaya iaitu agihan dan pembangunan seimbang, masyarakat berkemahiran, berilmu dan beretika, negeri dan kerajaan nadi pertumbuhan, jaringan infrastruktur dan kemudahan awam, angkatan muda yang partisipatif dan keharmornian masyarakat, yayasan dan gagasan sektor swasta yang mapan serta amalan mesra alam dan kelestarian sumber.

Bagi mencapai wawasan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menubuhkan Institut Darul Ridzuan (IDR) yang bertindak sebagai badan pemikir dalam mencari kaedah terbaik untuk membantu Perak mencapai status negeri maju menjelang 2015.

Badan ini mempunyai tiga fungsi utama iaitu merancang dari segi sosio-ekonomi, mengemaskini semua syarikat milik kerajaan (GLC) dan merancang hal berkaitan pelaburan.

Ditubuhkan 5 Mei 2009, IDR adalah satu entiti yang bergerak sendiri dan kini diterajui oleh Ketua Eksekutifnya, Aminuddin Hashim.

Dalam temubual eksklusif bersama Peraktoday.com baru-baru ini, Aminuddin berkata, badan itu akan memberi tumpuan dan fokus untuk melahirkan masyarakat berkemahiran, berilmu dan beretika pada tahun ini dan salah satu daripadanya ialah dengan mewujudkan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).

PEKA, katanya, dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abduk Kadir pada 21 Mac lalu, bagi membantu, menyelaras, melatih, memberi pengetahuan tambahan serta melengkapkan graduan serta rakyat Perak yang mengganggur agar mereka mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran mereka.

Pusat ini akan bekerjasama dengan sektor swasta, penggerak industri yakni majikan serta institusi pendidikan untuk mengenalpasti dan membekalkan tenaga kerja mahir, seterusnya menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Perak.

Aminuddin berkata, dengan wujudnya pusat itu, ia dijangka dapat menurunkan kadar pengangguran serta migrasi rakyat ke kawasan lain dan secara tidak langsung berupaya menarik lebih ramai pelabur untuk menanam modal di Perak.

“Pada 2011, kerajaan mahu memberi peluang berkualiti kepada rakyat dengan menubuhkan PEKA yang  berperanan membantu mereka mencari pekerjaan bersesuaian. Pusat ini ditubuhkan hasil perbincangan dan penyertaan ramai termasuklah sektor swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGOS) yang duduk semeja dengan IDR.

“Sebelum ini, tiada agensi yang menyelesaikan masalah yang dihadapi majikan yang kekurangan pekerja atau pencari kerja yang tidak tahu di mana kekosongan kerja diperlukan. Maka, sebagai badan pemikir, IDR menyahut cabaran bagi menyelesaikan masalah ini dengan memadankan majikan dan pekerja di bawah satu bumbung atau pusat sehenti dikenali sebagai PEKA,” katanya.

Kata Aminuddin lagi, majikan akan duduk bersama untuk menyalurkan maklumat berkaitan kekosongan kerja yang ditawarkan manakala PEKA pula akan turun padang ke universiti atau kolej tempatan bagi mengenalpasti tenaga mahir yang kemudiannya akan didaftarkan dengan pusat berkenaan.

Mengulas bagaimana PEKA beroperasi, Aminuddin menjelaskan, bagi memastikan pusat itu mencapai matlamatnya, IDR memerlukan kepakaran serta pengalaman daripada individu atau syarikat tertentu memandangkan badan itu mendapat peruntukan yang terhad.

Berdasarkan kedua-dua faktor itu, khidmat nasihat Talent Solution Sdn Bhd katanya digunapakai atas dasar profesionalisme dan bukan atas sebab kroni seperti yang didakwa dalam sebuah blog baru-baru ini.

“Adalah tidak adil untuk membuat tuduhan bahawa syarikat itu dilantik oleh IDR atas dasar kroni. Tidak dinafikan ada beberapa syarikat lain yang tampil menawarkan khidmat konsultan kepada IDR tetapi kita lihat mereka ini tidak mampu dari segi pengalaman dan kepakaran.

“Sebaliknya, walaupun Talent Solution masih baru tetapi Individu yang berada di belakang syarikat itu memiliki pengalaman luas iaitu 15 tahun dalam bidang ini dan telah menggunakan model sama di Iskandar Malaysia di Johor dan begitu juga Kuala Lumpur.

“Yang lebih penting, kita juga mengambil faktor semangat syarikat ini yang mana tunggak Talent Solution ialah anak jati Perak dan mereka ini mahu bersama-sama IDR untuk membangunkan negeri ini.

“Idea ini datang dari IDR dan keperluan menyediakan peluang pekerjaan serta keperluan merapatkan jurang antara majikan dan pekerja adalah sangat penting tetapi untuk memulakannya, kita memerlukan syarikat yang benar-benar layak dan berpengalaman,” jelasnya lagi.

Tambahnya, setakat ini, tiada sebarang contractual relationship antara syarikat itu dengan IDR.

IDR katanya, menggunakan modul, sistem dan khidmat nasihat syarikat ini dalam menguruskan pendaftaran rakyat secara cepat dan menjalankan sesi temuduga secara profesional dengan menggunakan ujian profil yang diiktiraf.

“Selain itu, calon yang berdaftar juga diajar cara berpakaian yang sesuai untuk menghadiri temuduga dengan bimbingan syarikat ini. Talent Solution datang membantu dalam beberapa minggu sahaja dan selepas itu PEKA akan berdiri di atas kaki sendiri kerana IDR adalah badan pemikir yang perlu meneruskan agenda lain untuk membangunkan Perak,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pusat itu menawarkan perkhidmatan secara percuma dan rakyat yang mencari pekerjaan perlu mendaftar dan akan dipanggil untuk temuduga dalam tempoh enam minggu.

Katanya, tempoh tiga bulan pertama amat penting untuk melihat kemampuan pusat itu bergerak sendiri dan IDR berharap 50 peratus daripada lebih 30,000 pekerjaan yang ditawarkan dapat diisi tahun ini.

Walaupun baru seminggu dilancarkan , lebih 500 pencari kerja sudah berdaftar dengan pusat itu yang terdiri pelbagai kaum yang disifatkan Dr Zambry sebagai petanda positif kepada usaha kerajaan negeri menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

KLIK PADA LINK UNTUK KE GALERI PELANCARAN PUSAT KERJAYA AMANJAYA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");