Perak Hari Ini

Pemilik Tanah Dipelawa Tanam Pokok Gaharu

Sebuah syarikat bumiputera, Kayu Gaharu (M) Sdn Bhd (KGMSB) mempelawa pemilik tanah di Perak supaya menjalin kerjasama dengannya bagi mengusahakan tanaman kayu gaharu.

Pengurus KGMSB Perak Noorazman Ariffin berkata banyak tanah kosong yang tidak diusahakan di negeri itu sesuai ditanam dengan pokok gaharu yang memberikan pulangan yang baik serta tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata kayu gaharu merupakan satu komoditi baru yang memberikan pulangan yang menguntungkan dan wajar diteroka oleh pemilik tanah sebagai punca pendapatan.

“Malaysia merupakan pengeluar ketiga terbesar kayu gaharu selepas Indonesia dan India…permintaan terhadap produk ini amat tinggi bagi teras gaharu dan minyak gaharu. Hanya 30 peratus permintaan keperluan dunia dapat dipenuhi dengan hasil perdagangan jual beli kayu gaharu.

Permintaan dari Arab Saudi sahaja sebanyak 500,000 juta liter pada setiap kali musim haji bagi membuat minyak atar dan peluang ini harus digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Noorazman berkata selain Arab Saudi, minyak gaharu mendapat permintaan tinggi dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain dan Oman.

“Apa yang istimewa mengenai pokok gaharu ialah ia tidak memerlukan kawasan yang luas kerana boleh di tanam di kawasan keliling rumah sekiranya tidak mempunyai kawasan yang luas kerana minyak akan dihasilkan melalui kaedah saintifik dengan suntikan inokulin pada batang pokok gaharu.

Tanaman ini juga boleh ditanam sebagai tanaman campuran di celah pokok lain seperti pokok getah dan kelapa sawit bergantung kepada kaedah dan khidmat nasihat yang betul,” katanya.

Noorazman berkata syarikat akan menyediakan pokok, bantuan khidmat nasihat serta memasarkan hasil dan orang ramai yang berminat mengusahakan tanaman pokok gaharu boleh menyertai seminar dan pameran anjuran KGMSB yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 2 April ini.

Seminar sehari itu diadakan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Perak, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");